Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

108) EAST COAST RAIL LINE (ECRL)

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Tuan Noor Najhan Bin Mohamad Salleh

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Perjelaskan Jajaran ECRL ‘Section 9' khususnya yang melalui daerah Klang dan bilangan penduduk yang terlibat.

    Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri Selangor dibahagi kepada tiga (3) seksyen bagi kerja-kerja pembinaan iaitu Seksyen 7 melibatkan sebahagian terowong Genting dalam negeri Selangor sepanjang 6.8km, Seksyen 8 dari Gombak ke Serendah sepanjang 35.9km dan Seksyen 9 dari Serendah ke Pelabuhan Klang sepanjang 48.7km. Bagi Seksyen 9, terdapat tiga (3) buah stesen iaitu stesen Puncak Alam (daerah Kuala Selangor), stesen Kapar (daerah Klang) dan stesen Jalan Kastam (daerah Klang).

    Jajaran di seksyen 9 bagi kerja-kerja pembinaan akan melalui Bandar Baru Sungai Buaya, Saujana Rawang, Batu Arang termasuk Hutan Simpan Batu Arang, Puncak Alam, Kapar dan Pelabuhan Klang serta merentasi lebuhraya dan jalan utama seperti Lebuhraya Utara Selatan, Jalan Kuala Selangor, Lebuhraya LATAR dan Jalan Kapar. Jajaran juga akan turut merentangi Sungai Puloh dan Sungai Klang. Jajaran di daerah Klang sepanjang 20.44km akan merentasi Jalan Akob, Persiaran Hamzah Alang, tapak cadangan Hospital Kapar, Jalan Haji Abdul Manan, Sungai Kapar Industrial Park, Jalan Kapar, Sungai Puloh, Lebuhraya Selat Klang, Sungai Klang dan Taman Sungai Sireh. Jajaran ini akan berakhir di Jalan Kastam bagi perkhidmatan penumpang dan seterusnya jajaran perkhidmatan kargo akan menuju ke Westport dan Northport.

     

  2. Apakah telah diadakan taklimat bersama penduduk yang terlibat?

    Sebanyak 22 sesi perjumpaan dengan wakil penduduk, ketua kampung dan wakil rakyat telah dijalankan sejak Mei 2022 hingga September 2023bagi memberi penerangan mengenai jajaran dan status pengambilan tanah di lokasi yang terlibat sepanjang Seksyen 9.

  3. Bagaimana Kerajaan Negeri boleh membantu keluarga yang terlibat mendapatkan rumah seperti kenyataan media YAB Menteri Besar?

    Selain bayaran pampasan kepada pemilik struktur kediaman yang terlibat secara langsung dengan pengambilan tanah bagi pembangunan projek ECRL mengikut award Pentadbir Tanah dan ex-gratia kepada penduduk setinggan yang menduduki Tanah Kerajaan, dicadangkan juga adalah penawaran pembelian Rumah Selangorku (RSKU)/ Rumah Idaman dengan keutamaan diberikan kepada pemilik struktur kediaman oleh pihak Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) bagi mana-mana projek yang berhampiran atau yang sedang dalam pembinaan. Walau bagaimanapun, pembelian ini adalah tertakluk kepada persetujuan pemilik struktur kediaman yang terlibat. Sekiranya bersetuju, pihak MRL dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah berkaitan dan LPHS akan membantu dalam urusan pembelian RSKU/ Rumah Idaman tersebut.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.