Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

75) FUNGSI AHLI MAJLIS

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Dato' Dr. Halim Bin Tamuri

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Jelaskan kriteria pelantikan seseorang Ahli Majlis di sesebuah kawasan?

    Dalam pemilihan dan pelantikan Ahli Majlis, Kerajaan Negeri Selangor telah mengeluarkan Pekeliling Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan) Bilangan 1/2021 – Garis Panduan Pengurusan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor yang berkuat kuasa 1 September 2021.

    Berdasarkan Pekeliling Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan) Bilangan 1/2021 – Garis Panduan Pengurusan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor yang berkuat kuasa 1 September 2021, kriteria pelantikan Ahli Majlis adalah seperti berikut:

    1. Ahli Majlis yang dicalonkan mestilah warganegara Malaysia dan fasih bertutur, membaca dan menulis Bahasa Malaysia;
    2. Had umur minimum bagi pencalonan Ahli Majlis adalah 21 tahun;
    3. Hendaklah bermastautin di kawasan PBT berkenaan sekurang-kurangnya lima (5) tahun atau menetap di daerah bersebelahan;
    4. Hendaklah bukan di kalangan kakitangan kerajaan;
    5. Tidak berstatus muflis semasa pencalonan dibuat;
    6. Ahli Majlis yang dicalonkan untuk dilantik hendaklah sekurang-kurangnya mempunyai kelayakan akademik minimum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan atau calon hendaklah menduduki dan lulus ujian asas yang akan ditetapkan oleh Jawatankuasa Pemilihan yang akan dipengerusikan oleh YB Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan.
    7. Tidak memegang mana-mana jawatan lantikan PBN yang boleh menimbulkan percanggahan skop tugas sebagai Ahli Majlis seperti berikut:
    • Ketua Kampung/ Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).
    • Ketua Komuniti India (KKI).
    • Penyelaras Pusat Wanita Berdaya (PWB).
    • Penggerak Belia Tempatan Negeri Selangor (PeBs).
  2. Siapakah pihak yang menilai kualiti perkhidmatan yang diberikan oleh Ahli Majlis yang dilantik?

    Prestasi Ahli Majlis PBT akan dinilai melalui penilaian prestasi tahunan yang akan dilaksanakan oleh Datuk Bandar / Yang Dipertua setiap PBT. Sebanyak 11 indikator sebagai KPI dalam penilai prestasi Ahli Majlis PBT seperti berikut:

    1. Kehadiran mesyuarat;
    2. Komitmen kepada tugas;
    3. Pengetahuan dan kemahiran dalam tugas;
    4. Kebolehan membuat keputusan;
    5. Keberkesanan komunikasi;
    6. Keberkesanan hasil kerja;
    7. Kepimpinan;
    8. Integriti;
    9. Disiplin dan ketepatan masa;
    10. Proaktif dan inovatif; dan
    11. Jalinan perhubungan dan kerjasama.
  3. Bagaimana rakyat mahu menyampaikan maklum balas tentang perkhidmatan Ahli Majlis yang dilantik kepada Kerajaan Negeri?

    Kerajaan Negeri tidak menyediakan platform khas bagi tujuan pengaduan terhadap Ahli Majlis. Walau bagaimanapun, orang awam boleh menyampaikan maklum balas dan apa sebarang aduan berkaitan perkhidmatan Ahli Majlis PBT melalui pelbagai medium di antaranya melalui surat rasmi atau emel kepada Datuk Bandar atau Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan berkenaan. Selain itu, maklum balas berkaitan perkhidmatan Ahli Majlis PBT ini juga boleh disampaikan melalui portal aduan Sistem Pengurusan Aduan Awam Pihak Berkuasa Tempatan (SISPAA-PBT). Maklum balas ini juga dapat membantu PBT untuk menambah baik kualiti prestasi sekaligus meningkatkan akauntabiliti Ahli Majlis supaya dapat terus memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Lampiran

Tiada Lampiran.