Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
68) MENDEPANI CABARAN WARGA NEGERI MENUA
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Tuan Syed Ahmad Bin Abdul Rahman Alhadad
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Nyatakan strategi dan perancangan jangka masa panjang Kerajaan Negeri Selangor dalam mendepani cabaran warga emas yang semakin meningkat bilangannya setiap tahun.
Malaysia kini sudah dikategorikan sebagai negara menua dan sedang menuju negara tua. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, penduduk Malaysia yang tua semakin meningkat pada kadar yang lebih cepat daripada jangkaan, iaitu lebih daripada 15 peratus penduduk bakal berumur melebihi umur 65 menjelang 2050. Di Selangor pula, diunjurkan menjelang tahun 2040 populasi warga emas berjumlah 1.3 juta orang.
Justeru adalah menjadi keperluan untuk negeri Selangor sebagai negeri termaju untuk memformulasikan Kerangka Tindakan Ekonomi Penjagaan (Care Economy). Bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri telah mengadakan Simposium Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor pada 30 dan 31 Oktober 2023. Simposium tersebut melibatkan pemegang taruh serta pakar dari pelbagai bidang untuk mengemukakan pandangan, idea, cadangan hala tuju dan strategi tentang ekonomi penjagaan yang holistik.
Wacana yang dilaksanakan mengambil kira isu multi-dimensi dan golongan sasar yang pelbagai termasuklah penjaga (caregivers), kanak-kanak, warga emas dan juga Orang Kurang Opaya (OKU). Dalam konteks warga emas, perhatian diberikan kepada isu-isu seputar sektor penjagaan, termasuklah isu undang-undang dan dasar, kesihatan awam, kualiti dan inklusiviti perkhidmatan, perlindungan sosial, pekerjaan, inovasi sosial serta kesejahteraan hidup warga emas.
Berpandukan hasil perbincangan dan resolusi Simposium tersebut, Kerajaan Negeri akan membangunkan Kerangka Tindakan Ekonomi Penjagaan yang akan mengiktiraf sektor penjagaan sekaligus sebagai persediaan Negeri menghadapi fenomena negeri menua pada beberapa dekad akan datang. Kerangka ini menekankan soal pengagihan semula tanggungjawab penjagaan yang perlu dipikul secara kolektif oleh empat (4) teras utama Ekonomi Penjagaan iaitu Kerajaan Negeri, Swasta, Komuniti dan Keluarga.