Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
62) PENJUALAN LOT BUMI KEPADA BUKAN BUMI
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah safeguards yang sedang dipertimbangkan untuk mengelak penjualan lot bumi kepada bukan bumi?
Untuk makluman Yang Berhormat, buat masa ini, Pihak Berkuasa Negeri (PBN) masih mengekalkan mekanisma sedia ada yang mana penentuan peratusan kuota Bumiputera adalah berpandukan kepada ‘Blue Print’ Perumahan Negeri Selangor bagi sesuatu projek pembangunan. Ianya akan disyaratkan / dikenakan semasa kelulusan tukar syarat kegunaan dan pemberimilikan tanah. Kelulusan tersebut diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang dikeluarkan oleh Pejabat Daerah/Tanah atau Pejabat Tanah Dan Galian Selangor (PTGS).
Pihak pemaju perlu memastikan syarat kuota Bumiputera tersebut dipatuhi semasa proses penjualan hartanah. PTGS akan membuat pemantauan semasa peringkat permohonan kelulusan ‘blanket consent’ / ‘blanket approval’ oleh pihak pemaju.
Sekiranya pemaju tidak mematuhi syarat kuota Bumiputera atau pemaju telah terlebih jual unit bukan Bumiputera maka proses ‘blanket consent’ / ‘blanket approval’ tidak dapat diteruskan/ dibuat.
Pemaju juga akan disenarai hitam daripada membuat sebarang permohonan pelepasan kuota Bumiputera di LPHS dan dikenakan denda yang lebih berat.
Pemaju dikehendaki membuat permohonan pelepasan kuota Bumiputera di LPHS berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan sebagaimana dinyatakan di dalam Pekeliling Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor Bilangan 1 Tahun 2019 berkenaan Mekanisma Penyelenggaraan Kuota Bumiputera Negeri Selangor 2.0.
Walau bagaimanapun, bagi menjamin serta mengelakkan perkara ini berlaku, pihak LPHS akan mengadakan kajian dan sesi libat urus dengan pemegang-pemegang taruh yang terlibat agar satu kaedah dapat diwujudkan.
-
Apakah cara penyelesaian bagi pembeli bukan bumi yang menjadi mangsa oleh kerana pemaju yang salah jual lot bumi kepada mereka?
Untuk makluman Yang Berhormat, sekiranya pembeli-pembeli telah membeli unit-unit Bumiputera disebabkan oleh ketidakpatuhan oleh pihak pemaju semasa proses penjualan terutamanya bagi pemaju yang telah digulungkan, pihak pembeli dibenarkan untuk membuat permohonan rayuan pengecualian/ pengurangan bayaran 7% @ 10% pemulangan potongan harga Bumiputera dan 5% caj pelanggaran mekanisma penyelenggaraan kuota Bumiputera dengan syarat pihak pemaju/ pihak Pelikuidasai telah membuat permohonan pelepasan kuota Bumiputera di LPHS dan rayuan tersebut perlu dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Rayuan Keputusan Pelepasan Kuota Bumiputera Negeri Selangor untuk pertimbangan.
LPHS dan Kerajaan Negeri bersedia membantu pemohon untuk membawa permohonan rayuan tersebut ke Mesyuarat Jawatankuasa Rayuan Keputusan Pelepasan Kuota Bumiputera Negeri Selangor untuk dibincangkan berdasarkan tatacara/ Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan seterusnya diangkat ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sekiranya memerlukan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri.
-
Apakah status kes USJ One Park?
Untuk makluman Yang Berhormat, status / perkembangan terkini adalah seperti berikut :
Pihak Pelikuidasi baharu bagi Apex Starfield (M) Sdn Bhd adalah Encik Wong Ching Yong yang menggantikan Puan Chu Dawn Wei Wen yang telah meninggal dunia.
Pihak Pelikuidasi sebelum ini memaklumkan akan mengemukakan permohonan Pelepasan Kuota Bumiputera Negeri Selangor bagi projek berkenaan setelah Pelikuidasi baharu dilantik. Walau bagaimanapun, sehingga kini LPHS masih belum menerima sebarang permohonan daripada pihak Pelikuidasi.
Pada 31 Mei 2023 yang lalu, pihak Pelikuidasi memaklumkan di dalam proses mengemaskini / membuat penyelarasan semula jumlah unit-unit yang masih belum memperolehi kelulusan pindahmilik dengan pihak JMB USJ One Park dan Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) bagi memastikan tiada unit-unit yang tercicir/ tertinggal memandangkan jumlah unit sebenar di tapak dan jumlah unit di dalam kelulusan pindahmilik adalah berbeza iaitu 425 unit di dalam rekod pindahmilik PTG manakala 423 unit di dalam rekod Pelikuidasi.
Pihak Pelikuidasi juga memaklumkan telah melantik Juruukur Tanah dan pihak Juruukur Tanah mengesahkan terdapat perbezaan 2 unit tersebut, namun Juruukur Tanah tidak mempunyai pelan yang diluluskan dan memohon supaya pihak Pelikuidasi merujuk / berurusan dengan pihak Arkitek iaitu Arkitek Akipirima Sdn. Bhd. Walau bagimanapun, pihak Arkitek tidak memberikan kerjasama walaupun pihak Pelikuidasi telah menghantar emel dan menelefon pihak Arkitek tersebut.
Memandangkan pengesahan jumlah unit tersebut masih belum dimuktamadkan, maka pihak Pelikuidasi tidak dapat mengemukakan permohonan pelepasan kuota Bumiputera di LPHS.
Untuk makluman Yang Berhormat, LPHS hanya akan memproses permohonan Pelepasan Kuota Bumiputera Negeri Selangor setelah permohonan rasmi diterima daripada pihak Pelikuidasi dan seterusnya akan membantu untuk membawa permohonan rayuan pengecualian 7% potongan harga Bumiputera dan 5% caj pelanggaran mekanisma penyelenggaraan kuota Bumiputera ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk pertimbangan.