Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
60) LANGKAH KERAJAAN BAGI MELINDUNGI UNDANG-UNDANG SYARIAH DARIPADA DICABAR KEABSAHANNYA
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Hal Ehwal Islam
Adun: Y.B. Tuan Mohd Shafie Bin Ngah
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah langkah kerajaan bagi melindungi undang-undang syariah daripada dicabar keabsahannya oleh pihak tertentu melalui proses mahkamah?
Jawapan bagi pertanyaan ini adalah sama dengan jawapan bagi pertanyaan YB Tuan Nushi bin Mahfodz (N32 Semenyih), bertajuk “Menggubal Undang-Undang Islam” kerana kedua-dua pertanyaan mempunyai persamaan kontekstual.
Di Negeri Selangor, cadangan pindaan atau pewujudan undang-undang Islam lazimnya akan dikawal selia oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang bertanggungjawab sebagai pihak berkuasa utama berhubung dengan agama Islam sepertimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 6 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negei Selangor) 2003 (EPAINS).
Merujuk kepada titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dalam Mesyuarat MKI ke-70 di Shah Alam pada 28 Ogos 2023, MAIS mengambil maklum bahawa DYMM Sultan Selangor menitahkan penubuhan Jawatankuasa Khas bagi membuat kajian yang mendalam dan kritikal mengenai kompetensi Dewan Undangan Negeri-negeri untuk menggubal undang-undang Islam di bawah enakmen negeri serta bidang kuasa Mahkamah Syariah di seluruh Malaysia. Titah tersebut secara khususnya ditujukan kepada agensi Persekutuan yang bertanggungjawab menyelaras pengharmonian undang-undang Islam di negeri yang berada di bawah seliaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Walaupun titah tersebut ditujukan kepada agensi di bawah Kerajaan Persekutuan, tindakan juga sedang diambil oleh MAIS untuk mengkaji pindaan atau pewujudan peruntukan undang-undang Islam di Negeri Selangor khususnya bagi menggantikan peruntukan undang-undang yang telah diisytiharkan terbatal oleh Mahkamah Persekutuan. Sepertimana yang dimaklumi semua, dalam tempoh tiga tahun ini, terdapat dua kes yang telah diputuskan di Mahkamah Persekutuan yang telah membatalkan dua undang-undang Islam di Negeri Selangor, iaitu—
- keputusan pada 21 Februari 2022 yang membatalkan seksyen 66A EPAINS berhubung dengan kuasa Mahkamah Syariah mendengar semakan kehakiman ke atas keputusan yang dibuat oleh MAIS atau jawatankuasa yang menjalankan fungsi di bawah EPAINS yang sama; dan
- keputusan pada 25 Februari 2021 yang membatalkan seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 (EJSS) berhubung dengan kesalahan persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii.
Bagi tujuan penyediaan draf undang-undang Islam di Negeri Selangor, suatu kumpulan pakar akan dibentuk secara berasingan (mengikut undang-undang yang akan dipinda atau digubal) untuk membincangkan, mengkaji dan menyediakan cadangan pindaan atau pewujudan undang-undang Islam, di mana kumpulan pakar ini terdiri daripada pakar undang-undang Perlembagaan, ahli-ahli akademik, dan pengamal undang-undang yang berkemahiran dalam undang-undang sivil dan syariah. Dalam hal ini, bagi tujuan menggantikan peruntukan undang-undang yang telah diisytiharkan terbatal oleh Mahkamah Persekutuan, pihak Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) bertindak sebagai urus setia bagi penyediaan cadangan pindaan berkaitan seksyen 66A EPAINS, manakala pihak Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor (JPSS) pula bertindak sebagai urus setia bagi penyediaan cadangan pindaan berkaitan EJSS. Pihak MAIS juga terlibat secara langsung dalam perbincangan dan libat urus bagi penyediaan undang-undang yang berkaitan.
Bagi tujuan pengharmonian undang-undang Islam di peringkat negeri, pihak JAKESS, JPSS dan/atau MAIS turut dijemput untuk terlibat sama dalam perbincangan dan libat urus yang dianjurkan oleh pihak Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam membincangkan pindaan undang-undang Islam yang berkaitan. Semua cadangan pindaan atau pewujudan undang-undang Islam ini akan disemak dan diharmonikan oleh Jawatankuasa Undang-undang MAIS yang dianggotai oleh Penasihat Undang-Undang Negeri, Mufti Negeri Selangor, Pegawai Kanan Jabatan Peguam Negara dan JAKIM, pengamal undang-undang sivil dan syariah dan ahli akademik, sebelum ia dibentangkan dalam Mesyuarat MAIS. Tindakan-tindakan perbincangan di pelbagai peringkat ini dilaksanakan bagi membincangkan sebarang cadangan pindaan undang-undang Islam secara tuntas dan kritikal bagi melindungi undang-undang Islam ini daripada dicabar keabsahannya oleh pihak tertentu melalui proses mahkamah.
MAIS dan agensi Islam lain iaitu JAKESS, JPSS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sentiasa komited termasuk terlibat aktif dalam perbincangan di peringkat kebangsaan dalam usaha untuk memastikan undang-undang Islam diperkasakan dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Malah, pindaan EJSS dan EPAINS (berkaitan seksyen 66A) turut menjadi suatu program utama yang ditetapkan dan dipantau di bawah Plan Strategik MAIS.