Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

47) PEMANTAPAN INSTITUSI KELUARGA GENERASI MUDA

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Puan Mariam Binti Abdul Rashid

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah inisiatif Kerajaan Negeri untuk memperkukuhkan institusi keluarga dan ibu bapa dalam kalangan generasi muda di Selangor?

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Wanita Berdaya Selangor telah melaksanakan Seminar Keluarga Negeri Selangor pada 21 September 2023 lalu, bertemakan “Keluarga Akar Masyarakat”. Dapatan seminar tersebut telah menggariskan resolusi antaranya bagi menyokong keperluan penjagaan anak-anak, masa bekerja anjal dan mempromosi tanggungjawab bersama (lelaki dan wanita). Berpandukan resolusi tersebut, Kerajaan Negeri akan merancang inisiatif dan program yang sesuai dengan keperluan keluarga khususnya bagi pasangan muda bagi tahun 2024.

    Selain itu, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Selangor turut melaksanakan beberapa program bagi menyokong keperluan golongan muda, antaranya Kasih Keibubapaan Digital, Permerkasaan Keluarga dan Komuniti (FACE) dan Kasih Keluarga Ceria atau ‘Family Psychological First Aid’.

  2. Adakah terdapat sebarang insentif yang disediakan bagi membantu mengurangkan beban kos penjagaan anak yang tinggi dalam kalangan keluarga generasi muda?

    Kerajaan Negeri Selangor telah memperkenalkan empat (4) insentif bagi membantu mengurangkan beban kos penjagaan anak yang tinggi dalam kalangan keluarga khususnya generasi muda. Antaranya ialah:

    i. Insentif Penjagaan Anak Bagi Wanita Bekerja iaitu MamaKerja merupakan antara janji 100 hari Kerajaan Negeri Selangor di bawah Program 5 Tekad untuk 5 Tahun. Insentif ini menawarkan bantuan kewangan secara one-off berjumlah RM1,000.00 kepada 5,000 ibu bekerja di Selangor bertujuan bagi menampung kos penjagaan anak serta menyokong wanita untuk berpartisipasi dalam sektor pekerjaan. MamaKerja menyasarkan ibu bekerja yang mempunyai anak berusia 12 tahun ke bawah dengan pendapatan isi rumah RM8,000.00 ke bawah.

    ii. Bantuan Asuh Pintar merupakan inisiatif penjagaan kanak-kanak di taska dengan bantuan yuran bulanan sebanyak RM100.00 sebulan selama setahun, bagi kanak-kanak berusia 4 tahun ke bawah dari keluarga bependapatan RM3,000.00 ke bawah.

    iii. Skim Bantuan Tadika Selangor (TUNAS) merupakan bantuan yuran bulanan tadika berjumlah RM50.00 sebulan selama setahun, yang diberikan kepada kanak-kanak di Selangor berusia 5 dan 6 tahun ke bawah dari keluarga berpendapatan RM3,000.00 ke bawah.

    iv. Program Insentif Yuran Pendaftaran Taska Anak Selangor Anak Kita (PINTAS) merupakan bantuan yang diberikan kepada ibu bapa bagi menampung kos yuran pendaftaran taska. Bantuan berjumlah RM100.00 diberikan secara one-off kepada 1,000 kanak-kanak berumur 4 tahun dan ke bawah, dengan lingkungan pendapatan keluarga iaitu RM5001.00 hingga RM8,000.00.

Lampiran

Tiada Lampiran.