Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
45) PROGRAM ILTIZAM SELANGOR SIHAT (PEDULI SIHAT)
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Kesihatan
Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah Kerajaan Negeri bercadang untuk meningkatkan had siling bayaran rawatan bagi pengguna Kad Peduli Sihat?
Soalan ini dijawab bersekali dengan soalan daripada N45 (Bandar Baru Klang) No. 248 (c), di mana Yang Berhormat Bandar Baru Klang bertanyakan sama ada had rawatan dapat ditingkatkan dari RM500.00 kepada RM1,000.00.
Yang Berhormat sekalian, mutu penjagaan kesihatan kepada golongan kurang berkemampuan iaitu di kalangan B40 dan miskin bandar harus dipertingkat kerana kesihatan yang baik mampu membantu mereka menjalani pekerjaan harian dengan lebih bersemangat, dan secara tidak langsung membantu meningkatkan taraf ekonomi golongan ini. Atas prinsip itu, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Iltizam Selangor Sihat (ISS) bagi memenuhi hasrat penjagaan kesihatan yang berkesan dan efektif kepada golongan ini.
ISS merupakan program yang telah ditambah baik daripada Skim Peduli Sihat (SPS) dan Skim Insurans Peduli Sihat (SIPS) dalam memberikan manfaat rawatan asas dan vaksinasi bernilai sehingga RM500 setahun bagi kategori Keluarga dan RM250 setahun bagi kategori Individu, dengan had bagi setiap rawatan adalah berjumlah RM70.
Kerajaan Negeri menyambut baik cadangan Yang Berhormat berhubung peningkatan siling bagi bayaran rawatan tersebut. Selaku Kerajaan yang mengambil berat akan kebajikan rakyatnya, cadangan tersebut akan dipertimbangkan sewajarnya oleh Kerajaan Negeri melalui sesi libat urus bersama pihak berkepentingan. Kerajaan Negeri akan mengkaji terlebih dahulu cadangan tersebut kerana peningkatan ini akan memberikan implikasi kewangan yang besar kepada Kerajaan Negeri dan secara tidak langsung turut menjejaskan peruntukan Kerajaan Negeri bagi bantuan lain.
-
Berapakah jumlah penerima Kad Peduli Sihat yang aktif tetapi tidak menggunakan kad tersebut mengikut DUN?
Sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini, program Skim Peduli Sihat telah ditambah baik kepada Skim Insurans Peduli Sihat dan pada ketika ini Kerajaan Negeri melaksanakan program Iltizam Selangor Sihat atau ISS, dengan manfaat-manfaat yang lebih luas. Jadi data-data yang akan dikongsikan adalah data program ISS.
Oleh kerana maklumat senarai ahli aktif ISS mengikut DUN terlalu panjang, saya akan maklumkan jumlah keseluruhan ahli aktif adalah 92,746 dan jumlah yang tidak menggunakan manfaat rawatan asas adalah 46, 269. Berdasarkan jumlah ini, sebanyak 50.1% yang telah menggunakan manfaat rawatan asas melalui program ISS ini. Ini juga bermaksud separuh daripada ahli aktif ISS telah menggunakan manfaat rawatan ISS.
Sekiranya khusus untuk N46 – Pelabuhan Klang, jumlah ahli aktif adalah seramai 1,700 orang dengan jumlah yang tidak menggunakan manfaat rawatan asas adalah seramai 687 orang atau 40%. Bagi maklumat DUN-DUN lain, senarai akan saya sertakan secara bertulis pada yang Berhormat Pelabuhan Klang.
Berikut adalah maklumat jumlah Ahli ISS yang tidak menggunakan manfaat rawatan asas mengikut DUN sehingga 30 Oktober 2023: