Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
43) INISIATIF KERAJAAN MEMBANTU GOLONGAN IBU TUNGGAL
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Wanita & Keluarga
Adun: Y.B. Tuan Muhaimin Harith Bin Abdullah Sani
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah rancangan Kerajaan Negeri Selangor dalam membantu golongan Ibu Tunggal yang tiada pendapatan tetap bagi menampung kesinambungan hidup mereka?
Jawapan ini akan dijawab bersekali dengan jawapan soalan no 353 (a) dan (b) daripada Yang Berhormat Permatang.
Kerajaan Negeri memandang serius terhadap isu yang dihadapi oleh golongan ibu tunggal dan sentiasa mencari jalan penyelesaian untuk menyediakan bantuan kepada mereka. Kerajaan Negeri menerusi Pusat Wanita Berdaya(PWB) di setiap DUN, melaksanakan pelbagai usaha memberdaya wanita termasuklah golongan ibu tunggal. PWB menyediakan 2 modul iaitu pembangunan kapasiti dan kemahiran yang dapat membantu penerima manfaat menjana pendapatan seperti program masakan, pembuatan kraftangan, jejak usahawan, keterampilan diri wanita dan lain-lain program.
Selain itu, Kerajaan Negeri menerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Keusahawan dan Jawatankuasa Tetap Kemiskinan telah menyediakan pelbagai insentif dan bantuan bagi memastikan golongan sasar termasuk ibu tunggal agar mampu menjana ekonomi untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka. Di antara tindakan Kerajaan Negeri melalui pelbagai insentif dan bantuan yang disediakan adalah seperti Program Bantuan ‘BluePrint’ Pembasmian Kemiskinan, Geran Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS) dan sebagainya.
-
Berapakah jumlah Ibu Tunggal miskin yang berjaya dibantu oleh Kerajaan Negeri mengikut tahun sejak 2021 sehingga bulan Jun 2023?
Pada tahun 2022, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Wanita Berdaya Selangor (WBS) telah menyediakan sebuah inisiatif berupa Geran Program Pembangunan Ibu Tunggal Selangor sebagai menyuntik semangat golongan ibu tunggal agar dapat melaksanakan program-program pembangunan di kawasan masing-masing. Geran ini diberikan kepada persatuan ibu tunggal yang telah melalui proses penilaian, saringan dan memenuhi kriteria yang telah ditetapkan di setiap DUN seluruh Selangor. Sebanyak 16 persatuan ibu tunggal telah berjaya menerima peruntukan geran pada sesi yang lalu dan seramai 925 orang peserta telah menerima manfaat dari pelaksanaan program-program yang diadakan.
Antara inisiatif lain yang disalurkan kepada golongan ini adalah Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS). Bantuan ini bertujuan bagi meringankan beban kos sara hidup terutama mereka yang berpendapatan rendah bagi menampung keperluan kehidupan asas yang semakin mencabar pada masa kini. Inisiatif ini dibiayai oleh Kerajaan Negeri sebanyak RM3,600.00 setahun atau RM300.00 sebulan kepada setiap keluarga yang layak bagi menampung pembelian barangan keperluan asas keluarga secara e-wallet (cashless) di kedai-kedai dan pasaraya-pasaraya di seluruh Selangor yang terpilih termasuk juga tambahan kepada barang keperluan rumah dan perihal pendidikan anak-anak. Seramai 7,307 orang ibu tunggal menerima maafaat daripada program BINGKAS ini.