Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
42) INFRA KAMPUNG TRADISI
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Pembangunan Kampung
Adun: Y.B. Tuan Preakas A/l Sampunathan
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah perancangan Kerajaan Negeri terhadap hal ehwal kampung tradisi, khasnya berkenaan infra dan penyelenggaraan kawasan?
Kerajaan Negeri sentiasa komited terhadap perkembangan bagi projek pembangunan desa di Selangor. Sehubungan itu bagi tahun 2024, sejumlah RM2 juta akan diperuntukkan di bawah Vot P01/02006 – Naik taraf/ Baik pulih Jalan Luar Bandar khas untuk menaik taraf jalan-jalan luar bandar di semua daerah Negeri Selangor, serta peruntukan berjumlah RM2 juta di bawah Vot P01/02005 – Kemudahan Awam/ Asas Desa bagi projek-projek naik taraf dan baik pulih balai raya dan kemudahan awam luar bandar yang lain di semua daerah Negeri Selangor.
Sehubungan ini, Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan permohonan bagi projek pembangunan desa dan akan menilai dari segi keperluan dan keadaan semasa bagi pelaksanaannya.
-
Adakah peluang untuk serahkan tanah kampung kepada PBT bagi urusan penyelenggaraan?
Secara amnya, pelupusan tanah kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) boleh dibuat dengan beberapa kaedah seperti berikut:
i) Bagi tanah kerajaan, pelupusan boleh dibuat secara Lesen Pendudukan Sementara di bawah Seksyen 65, Kanun Tanah Negara atau secara pewartaan di bawah Seksyen 62, Kanun Tanah Negara yang mana permohonan perlu dibuat oleh PBT kepada Pejabat Daerah/Tanah.
ii) Bagi tanah rizab yang telah diwartakan, pelupusan boleh dibuat secara pajakan di bawah Seksyen 63, Kanun Tanah Negara yang mana permohonan perlu dibuat oleh PBT kepada Pejabat Tanah dan Galian Selangor.