Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

34) PERSEDIAAN MENGHADAPI ISU ‘AGEING SOCIETY’

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Puan Nurul Syazwani Binti Noh

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah dasar ekonomi berkebajikan Kerajaan Negeri Selangor dalam menangani masalah ageing society?

    Pertanyaan a) & b) dijawab bersekali dengan Soalan No. 68 oleh Yang Berhormat Lembah Jaya dan Soalan No.208(a) oleh Yang Berhormat Ijok berkaitan warga negeri menua atau ‘ageing society’. 

     

    Malaysia kini sudah dikategorikan sebagai negara menua dan sedang menuju negara tua. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, penduduk Malaysia yang tua semakin meningkat pada kadar yang lebih cepat daripada jangkaan, iaitu lebih daripada 15 peratus penduduk bakal berumur melebihi umur 65 menjelang 2050. Di Selangor pula, diunjurkan menjelang tahun 2040 populasi warga emas berjumlah 1.3 juta orang.

     

    Justeru adalah menjadi keperluan untuk negeri Selangor sebagai negeri termaju untuk memformulasikan Kerangka Tindakan Ekonomi Penjagaan (Care Economy). Bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri telah mengadakan Simposium Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor pada 30 dan 31 Oktober 2023. Simposium tersebut melibatkan pemegang taruh serta pakar dari pelbagai bidang untuk mengemukakan pandangan, idea, cadangan hala tuju dan strategi tentang ekonomi penjagaan yang holistik.

     

    Wacana yang dilaksanakan mengambil kira isu multi-dimensi dan golongan sasar yang pelbagai termasuklah penjaga (caregivers), kanak-kanak, warga emas dan juga Orang Kurang Opaya (OKU). Dalam konteks warga emas, perhatian diberikan kepada isu-isu seputar sektor penjagaan, termasuklah isu undang-undang dan dasar, kesihatan awam, kualiti dan inklusiviti perkhidmatan, perlindungan sosial, pekerjaan, inovasi sosial serta kesejahteraan hidup warga emas.

     

    Berpandukan hasil perbincangan dan resolusi Simposium tersebut, Kerajaan Negeri akan membangunkan Kerangka Tindakan Ekonomi Penjagaan yang akan mengiktiraf sektor penjagaan sekaligus sebagai persediaan Negeri menghadapi fenomena negeri menua pada beberapa dekad akan datang. Kerangka ini menekankan soal pengagihan semula tanggungjawab penjagaan yang perlu dipikul secara kolektif oleh empat (4) teras utama Ekonomi Penjagaan iaitu Kerajaan Negeri, Swasta, Komuniti dan Keluarga.

  2. Apakah rancangan Kerajaan Negeri untuk memperbaiki kemudahan awam untuk menangani masalah ageing society?

  3. Adakah kerajaan bercadang untuk menambah pusat aktiviti warga emas di Selangor?

    Soalan c) dijawab bersekali dengan Soalan No. 86 (c) oleh Yang Berhormat Kota Kemuning.

     

    Setakat Oktober 2023, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor telah mewujudkan 17 buah Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) yang 4,877 orang warga emas berdaftar di PAWE seluruh negeri. Bagi merancakkan lagi usaha penubuhan PAWE di negeri Selangor, JKM akan memohon sejumlah empat (4) PAWE baru di Selangor bagi tahun 2024 meliputi kawasan-kawasan Parlimen yang masih belum mempunyai PAWE iaitu di Shah Alam, Sepang, Gombak dan Hulu Langat.

     

    Pada masa ini, permohonan penubuhan PAWE berkenaan masih dalam penilaian dan pertimbangan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). Selain itu, JKM turut akan memohon penubuhan PAWE tanpa premis dengan mengambil kira kepada populasi warga emas di sesebuah kawasan bagi memperluaskan liputan PAWE ke seluruh negeri.

Lampiran

Tiada Lampiran.