Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

12) SELANGOR MOBILITY

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Terangkan secara perinci berkenaan rancangan untuk melaksana program Selangor Mobility?

    Inisiatif Mobiliti Selangor yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Selangor merupakan satu pendekatan yang pragmatik untuk meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam dan mobiliti di Negeri Selangor. Sebelum tahun 2023, perkhidmatan pengangkutan awam di Selangor tertumpu kepada Bas Smart Selangor sahaja.

     

    Melangkah ke hadapan, tiba masanya Kerajaan Negeri mencari solusi yang lebih proaktif bagi mencapai sasaran penggunaan pengangkutan awam yang lebih tinggi. Penjenamaan baharu sistem pengangkutan awam Selangor kini akan dikenali sebagai  Mobiliti Selangor iaitu sebuah sistem pengangkutan awam yang menggabungkan semua aspek pengangkutan di bawah satu bumbung, dan dipandu dengan penganalisaan data.  Inisiatif ini melibatkan pelaksanaan program dan aktiviti yang menyeluruh dalam memenuhi keperluan First Mile Last Mile, yang merujuk kepada segmen awal dan akhir perjalanan seseorang pengguna pengangkutan awam. Mobiliti Selangor tidak hanya memfokuskan pada satu mod pengangkutan semata-mata seperti bas, rel, teksi, atau e-hailing, tetapi ia melibatkan keterangkuman semua aspek pengangkutan dalam satu ekosistem pengangkutan yang holistik dan efisien. Contohnya perhentian bas, hub pengangkutan awam, mikromobiliti, e-scooter, malahan laluan pejalan kaki.

  2. Apakah rancangan untuk perlaksanaan Selangor Mobility di Rawang?

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berkaitan iaitu Majlis Perbandaran Selayang akan mengenal pasti keperluan dan lokasi yang bersesuaian bagi pelaksanaan  Mobiliti Selangor di Rawang, termasuk pelaksanaan inisiatif awal yang terkandung dalam Mobiliti Selangor iaitu van Demand Responsive Transit (DRT). Perluasan penggunaan van DRT ini akan dilaksanakan setelah mendapat maklum balas pengguna projek perintis di Puchong, Ampang dan Gombak. Sehingga 31 Oktober 2023, projek pelaksanaan Mobiliti Selangor di Rawang adalah hanya penggunaan empat (4) unit Bas Smart Selangor yang telah memberi perkhidmatan sejak 2015 melibatkan laluan di Kawasan Pusat Bandar Rawang, Rawang Perdana, Taman Bersatu, Taman Jati, Taman Setia, Kuala Garing, Taman Tun Teja dan Pusat Perniagaan Reef.

  3. Adakah Bas Selangorku akan diteruskan atau dikurangkan setelah perlaksanaan Selangor Mobility?

    Program Bas Smart Selangor adalah salah satu daripada perancangan yang terkandung dalam Mobiliti Selangor. Ini tidak membawa maksud bahawa penggunaan Bas Smart Selangor akan dikurangkan. Malahan, perkhidmatan Bas Smart Selangor akan ditambahbaik dengan penambahan perkhidmatan van DRT di kawasan yang berlaluan sempit dan sukar diakses oleh bas. Di samping itu juga, bilangan jumlah Bas Smart Selangor yang beroperasi akan dinilai oleh setiap PBT berdasarkan rekod data lampau berkaitan bilangan penumpang yang menggunakan Bas Smart Selangor setiap hari mengikut jenis laluan dan kawasan yang telah dilalui. Ini adalah bagi memastikan perkhidmatan bas percuma yang disediakan oleh Kerajaan Negeri dapat dinikmati secara optimum oleh rakyat.

Lampiran

Tiada Lampiran.