Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

9) MEMUPUK KEHARMONIAN

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Perpaduan

Adun: Y.B. Tuan Abbas Salimmi Bin Che Adzmi @ Azmi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha kerajaan bagi memupuk keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat?

    Soalan ini dijawab bersekali dengan Pertanyaan No.100 daripada Yang Berhormat Rawang.

     

    Jawatankuasa Tetap Perpaduan Negeri Selangor melalui Pejabat Daerah dan Tanah sebagai penyelaras dan pelaksana serta Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor sebagai penasihat dan pemantau telah melaksanakan program Rumpun Selangor D’ Desa di lima (5) daerah iaitu Kuala Selangor, Petaling, Sepang, Hulu Langat dan Hulu Selangor. Program ini adalah program yang telah dijenamakan semula daripada Program Kita Rewang Sekampung.

     

    Program ini merupakan program perpaduan yang berkonsepkan mini karnival dan bersifat pelbagai agensi dan sektoral untuk memberi impak yang tinggi kepada masyarakat yang disentuh semasa pelaksanaan program ini. Pengisian utama program ini adalah pertandingan sukan rakyat, kenduri rakyat, pameran oleh agensi kerajaan dan bukan kerajaan dan juga persembahan kebudayaan pelbagai kaum yang boleh memupuk semangat penyatuan masyarakat setempat di luar bandar.

     

    Penganjuran program ini akan diteruskan pada tahun hadapan di kesemua sembilan (9) daerah dengan skala yang lebih besar serta lebih inklusif untuk semua lapisan masyarakat tidak kira masyarakat bandar mahu pun luar bandar di Negeri Selangor dan akan dijenamakan semula sebagai Karnival Perpaduan Rumpun Selangor yang berpaksikan kepada Gagasan Rumpun Selangor.

     

    Gagasan Rumpun Selangor ini diperkenalkan atas hasrat untuk menyemarakkan semangat perpaduan nasional di peringkat Negeri Selangor. Rumpun Selangor adalah terjemahan demografi Negeri Selangor yang merangkumi pelbagai lapisan masyarakat daripada penduduk asal dan Orang Asli, sehinggalah kepada perantau dari seluruh negara yang berkerja, bermastautin dan menjadi rakyat Selangor.

     

    Ini meletakkan Negeri Selangor cukup unik dengan kepelbagaian demografinya yang menjadikannya sebagai ‘mini Malaysia”. Rumpun Selangor ini adalah cetusan ideologi penyatuan masyarakat Negeri Selangor atas semangat “di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung”. Kita boleh datang daripada pelbagai asal usul, agama dan etnik, tetapi apabila kita menjadi sebahagian daripada Rumpun Selangor, kita hidup berasimilasi dan menghormati adab, adat dan budaya tradisi setempat.

     

    Rumpun Selangor turut menjunjung kedaulatan dan kebesaran Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sebagai payung negeri, yang harus diterjemahkan oleh rakyat melalui kesetiaan dan penghormatan terhadap institusi diraja ini. Sebagai institusi yang berada di atas sistem politik dan kepartian, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor juga adalah payung perpaduan yang menjadi tonggak kepada penyatuan dan kesatupaduan Rumpun Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.