Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

7) MISKIN TEGAR

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan kawasan yang terdapat populasi miskin tegar yang tinggi di Negeri Selangor.

    Yang Berhormat Sentosa, statistik berkaitan pendapatan isi rumah adalah diperoleh melalui Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas Negeri Selangor tahun 2022. Survei ini dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dengan kekerapan dua kali bagi setiap lima tahun dan laporan yang terkini adalah pada 2022 yang telah diterbitkan pada Julai 2023. Laporan ini memaparkan maklumat statistik berkaitan dengan taburan pendapatan dan juga statistik kemiskinan isi rumah di peringkat nasional, negeri serta daerah pentadbiran.

     

    Di Malaysia, kaedah pengukuran kemiskinan mutlak adalah dengan menggunakan pendekatan Kos Keperluan Asas yang menetapkan satu paras keperluan minimum yang dikenali sebagai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK). Konsep kemiskinan yang digunakan adalah mengambil kira PGK makanan dan PGK bukan makanan bagi setiap isi rumah. Sesebuah isi rumah dianggap miskin jika pendapatan mereka kurang daripada nilai PGK yang diperlukan. Ini bermaksud isi rumah tersebut kekurangan sumber pendapatan untuk memenuhi keperluan asas makanan dan bukan makanan bagi setiap ahlinya. Sesebuah isi rumah dianggap miskin tegar jika pendapatannya kurang daripada nilai PGK makanan yang diperlukan. Sehubungan dengan itu, berdasarkan kepada Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas Negeri Selangor tahun 2022, kemiskinan tegar direkodkan sebanyak 0.02 peratus pada tahun 2022 berbanding 0.2 peratus pada tahun 2019 dan daerah Sabak Bernam merupakan kawasan yang terdapat populasi miskin tegar manakala daerah lain tiada populasi miskin tegar.

  2. Apakah tindakan yang intervensi yang telah dilakukan Kerajaan Negeri setelah mengenal pasti masalah miskin tegar di sesebuah kawasan?

    Untuk makluman Yang Berhormat Sentosa, Kerajaan Negeri sentiasa memberi tumpuan kepada usaha pembasmian kemiskinan dan usaha ini adalah antara tugas utama Jawatankuasa Tetap Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor selaras dengan halatuju Rancangan Selangor Pertama (RS1).

    Selain itu, melalui Mesyuarat Focus Group Kesejahteraan Rakyat Peringkat Daerah (FGD) dan Mesyuarat Focus Group Pelaksanaan Program Pembasmian Kemiskinan (MFGNg) peringkat Negeri Selangor, Kerajaan Negeri sentiasa aktif dalam mengenalpasti masalah kemiskinan tegar di setiap daerah. Bantuan segera jangka masa pendek akan diberikan sekiranya bersesuaian dan Kerajaan Negeri Selangor turut merancang bantuan dan inisiatif jangka masa panjang bagi membantu golongan ini meningkatkan pendapatan bulanan dan seterusnya keluar dari kelompok kemiskinan tegar.

     

    Bantuan yang disalurkan kepada isi rumah miskin tegar ini adalah program-program bantuan dari Kerajaan Negeri melalui Program Iltizam Selangor Penyayang (ISP) yang merupakan inisiatif jangka masa panjang Kerajaan Negeri Selangor dalam usaha pembasmian kemiskinan. Program-program khusus bagi usaha pembasmian kemiskinan Negeri Selangor adalah program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan, Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin dan Program Jom Shopping Perayaan. Antara program jangka pendek yang mampu membantu isi rumah miskin tegar adalah program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) yang dapat membantu isi rumah dalam menjalani kelangsungan hidup seharian.

Lampiran

Tiada Lampiran.