Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

212) HAIWAN LIAR/TERBIAR ANJING, KUCING, MONYET, BABI HUTAN

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah agensi yang bertanggungjawab terhadap isu haiwan yang berkenaan?

    Masalah haiwan liar/ terbiar seperti anjing, kucing, monyet dan babi hutan yang dihadapi oleh masyarat terutamanya sering mengakibatkan kacau ganggu kepada penduduk setempat. Pihak Berkuasa Temptan (PBT) Negeri Selangor, melaksanakan operasi tangkapan anjing dan kucing liar secara berkala di kawasan hotspot yang telah dikenal pasti serta aduan yang diterima. Manakala aduan/ tangkapan bagi monyet dan babi hutan dilaksanakan oleh Jabatan Perhilitan.

  2. Berapakah peruntukan yang diberikan kepada agensi terlibat dalam menangani isu di atas?

    Pada tahun 2019, YAB Dato’ Menteri Besar Selangor telah bersetuju untuk memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi Program Kawalan Haiwan. Objektif utama program tersebut adalah untuk memelihara keselamatan dan keharmonian kawasan setempat daripada gangguan haiwan khususnya yang melibatkan anjing liar dan kucing terbiar. Oleh itu, peruntukan tersebut akan disalurkan kepada PBT Negeri Selangor untuk merancang dan melaksanakan program-program yang boleh mengawal pertambahan populasi haiwan-haiwan tersebut seperti menaik taraf Pusat Tahanan Haiwan Sementara, perolehan peralatan keselamatan, program kemasyarakatan dan lain-lain program yang berkaitan. Walau bagaimanapun Kerajaan Negeri sentiasa mempertimbangkan permohonan daripada PBT Negeri Selangor dari masa ke semasa.

  3. Apakah perancangan jangka masa panjang Kerajaan Negeri bagi menangani masalah ini?

    Sebagai langkah bagi menangani masalah ini untuk jangka masa panjang yang lebih berkesan, Kerajaan Negeri bersama semua PBT Negeri Selangor bercadang untuk membangunkan Pusat Lindungan Haiwan (Fur Shelter) yang lebih komprehensif, bersih dan menjamin kebajikan haiwan-haiwan di semua PBT negeri Selangor.

    Antara langkah-langkah yang diambil oleh pihak Jabatan Perhilitan bagi mengawal populasi dan mengatasi aduan gangguan hidupan liar seperti berikut adalah berdasarkan kepada prosedur yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan dan kelestarian spesies hidupan liar tersebut dengan mengawal populasi konflik dengan menjalankan tindakan penakaian (culling) yang merupakan kaedah biasa yang diamalkan dalam pengurusan hidupan liar. Kaedah ini diguna pakai bagi mengawal populasi melalui pengurangan secara terkawal spesies konflik yang mendatangkan aduan gangguan yang Ini bagi mengelakkan kelimpahan populasi spesies berkenaan yang boleh mendatangkan kemusnahan dan menjadi ancaman kepada keselamatan orang awam.

    Walaupun begitu, usaha dan tindakan yang dilaksanakan oleh pihak Jabatan juga perlu mendapat sokongan dan kerjasama dari pelbagai pihak terutamanya dari masyarakat setempat melalui sesi-sesi dialog dan operasi bersama dengan agensi yang terlibat. Tujuan jangka panjang pendekatan lebih proaktif daripada semua pihak adalah diperlukan memandangkan ianya merupakan spesies yang mempunyai kemandirian yang tinggi, mudah membiak serta tinggal berdekatan dengan penempatan manusia bukan sahaja di kawasan-kawasan kampung malah hidup di bandar-bandar besar yang mengancam keselamatan orang ramai. Oleh itu, segala tindakan yang dilaksanakan oleh Jabatan Perhilitan adalah secara berhemat dan berhati-hati agar kesejahteraan orang ramai terjamin di samping menjaga kelestarian hidupan liar di negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.