Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

199) BANJIR DI KPG BKT CHANGGANG DAN RTB BKT CHANGGANG

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Adhif Syan Bin Abdullah

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri menyedari punca banjir di kawasan tersebut akibat tiada kolam takungan lebuhraya ELITE dan projek MEX2 yang terbengkalai termasuk lombong-lombong yang terbiar?

    Kejadian banjir di sesebuah kawasan dipengaruhi pelbagai faktor antaranya topografi kawasan, sistem saliran sedia ada dan hidrologi setempat. Punca utama kejadian banjir di Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang dan Kg. Bukit Changgang adalah berpunca daripada limpahan Sg Langat. Susulan daripada kejadian banjir besar pada 18 Disember 2021, sejumlah peruntukan telah diluluskan bagi meninggikan ban Sungai Langat terutama di kawasan berisiko banjir di RTB Bukit Changgang, Kg. Bukit Changgang dan Kg. Labohan Dagang. Kerja meninggikan ban berkenaan didapati telah dapat menghalang limpahan air sungai semasa aras Sungai Langat mencapai aras tertinggi 4.94 m iaitu melebihi aras bahaya (4.20 m) sebanyak 0.74 m pada 17 November 2022. Walau bagaimanapun, kejadian banjir pada 2 Disember 2022 yang melibatkan sebahagian kawasan di Kg. Bukit Changgang adalah disebabkan limpahan Sungai Langat di Daerah Sepang berhampiran Kampung Orang Asli (KOA) Kolam Air Bangkong, Dengkil yang mengalir masuk melalui pembetung Lebuhraya TOL KLIA ke Kampung Bukit Serdang seterusnya ke Jalan Perak Kiri dan Jalan Emas Kiri, Kg. Bukit Changgang. Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Sepang telah mengenalpasti bahawa jajaran ban sungai tersebut berada di dalam kawasan rezab orang asli (Suku Kaum Sakai) dan telah membuat penyelarasan bersama Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sepang dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) berkaitan isu pembinaan ban sungai tersebut. Dalam pada itu, kajian khusus akan dijalankan bagi mengenalpasti fungsi kolam-kolam takungan sedia ada dari segi keperluan untuk dinaiktaraf sebagai salah satu komponen tebatan banjir. Ini termasuk mengkaji struktur outlet dan kapasiti kolam bagi memastikan sistem saliran sedia ada berupaya untuk menampung dan mengalirkan air secara berkesan serta mengenalpasti sama ada aktiviti pembinaan atau pun infrastruktur yang dibina memberikan adverse impact yang boleh mengakibatkan banjir.

  2. Apakah tindakan bagi menyelesaikan isu ini dan penyelesaian jangka pendek dan panjang yang dirancang?

    Bagi langkah jangka pendek, Kerajaan Negeri Selangor melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor (JPS) akan meneruskan usaha menaiktaraf dan mengukuhkan ban Sungai Langat terutama di kawasan berisiko banjir. Ini termasuk menangani kesan limpahan ban di Daerah Sepang dengan kerja-kerja segera membina ban di outlet keluar pembetung Lebuhraya TOL KLIA di Daerah Kuala Langat bagi mengelakkan limpahan memasuki Kg. Bukit Changgang serta pembinaan saluran air banjir terus ke Sungai Langat yang dapat mengurangkan kesan banjir limpahan ke Kg. Bkt. Serdang dan Kg. Bukit Changgang. Bagi langkah jangka panjang, JPS telah membuat permohonan Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat Fasa 2, Selangor kepada Kerajaan Persekutuan melalui Peruntukan Pembangunan Persekutuan secara Off-Budget. Di samping itu, JPS juga telah memohon Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat Fasa 3, Selangor melalui Peruntukan Pembangunan Persekutuan di bawah RMKe-12 (Rolling Plan 4). Namun demikian, pelaksanaan kedua-dua adalah tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Persekutuan. Maklumat projek fasa 2 dan fasa 3 yang telah dipohon adalah seperti berikut:-

Lampiran

Tiada Lampiran.