Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

93) ON DEMAND BUS HAILING

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri mempunyai rancangan untuk memperkenalkan sistem 'on demand bus hailing'?

    Melalui Ucapan Belanjawan 2023 oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor, Kerajaan Negeri akan melaksanakan penjenamaan semula inisiatif Bas Smart Selangor kepada Selangor Mobility, di mana Selangor Mobility adalah satu system bersepadu yang menggabungkan semua aspek pengangkutan di bawah satu bumbung. Selaras dengan itu juga, Kerajaan Negeri mempunyai rancangan untuk memperkenalkan sistem Demand-Responsive Transit (DRT) sebagai salah satu inisiatif di bawah Selangor Mobility di mana sistem tersebut dirancang untuk berfungsi berdasarkan permintaan melalui aplikasi pintar intelligent routing software. DRT merupakan fasa pertama bagi pelaksanaan Selangor Mobility yang juga merupakan penggunaan bas berskala kecil (dengan kapasiti 10 – 15 orang penumpang) bagi membolehkan capaian pengangkutan awam ke laluan-laluan sempit dan berkepadatan tinggi yang tidak boleh dicapai oleh Bas Smart Selangor sedia ada.

  2. Jika ya, syarikat yang manakah Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan?

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) sedang meneliti kaedah pelaksanaan DRT melalui Projek Rintis yang akan dilaksanakan bersama syarikat-syarikat yang bersesuaian dan berkeupayaan secara jemputan bagi mengenalpasti keberkesanan projek, keberkesanan sistem/ teknologi yang digunakan dan kaedah pelaksanaan yang paling sesuai dan berimpak tinggi. Pemilihan syarikat-syarikat yang bersesuaian akan ditentukan berdasarkan keupayaan dalam memenuhi skop perkhidmatan dan pencapaian Projek Rintis yang akan ditetapkan dan dipantau oleh Jawatankuasa Projek Rintis DRT. Pengesyoran syarikat yang bersesuaian dan berkeupayaan akan dibuat selepas pelaksanaan Projek Rintis dan pelantikan syarikat akan dibuat mengikut peraturan-peraturan sedia ada setelah mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Melulus.

Lampiran

Tiada Lampiran.