Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

92) TAHAP PENDIDIKAN MASYARAKAT ORANG ASLI

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Orang Asli

Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan kadar keciciran murid Orang Asli di sekolah rendah dan menengah antara tahun 2020, 2021 dan 2022, mengikut daerah.

    Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merujuk kepada definisi keciciran iaitu murid warganegara Malaysia yang berada dalam sistem pendidikan (bersekolah) tetapi keluar daripada sistem sebelum tamat tempoh pendidikan. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama-sama jabatan Pendidikan Negeri Selangor sentiasa memberi perhatian terhadap pendidikan Orang Asli dan berusaha memastikan mereka mendapat akses kepada pendidikan untuk mengelakkan keciciran. KPM telah melaksanakan Inisiatif Tranformasi Pendidiokan Orang Asli dan Peribumi di Bawah Pelan Pembangunan Pendidikan  Malaysia (PPPM 2013-2025) untuk memastikan murid Orang Asli dan Peribumi mendapat pendidikan yang terbaik. Ini bukan sahaja untuk meningkatkan kehadiran malah cuba membendung keciciran.

     

    Berdasarkan statistik KPM, kadar keciciran murid Orang Asli di negeri Selangor menunjukkan trend peningkatan bagi peringkat rendah iaitu tiada keciciran pada tahun 2020 kepada 0.03 peratus pada tahun 2022. Pada peringkat menengah pula, kadar keciciran murid Orang Asli menunjukkan trend penurunan  daripada 0.50 peratus keciciran pada tahun 2020 kepada 0.40 peratus pada tahun 2022. Statistik ini merangkumi murid-murid sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan sahaja.

  2. Apakah usaha Kerajaan Negeri selain bantuan kewangan untuk meningkatkan kadar kemasukan ke sekolah di kalangan masyarakat Orang Asli?

    Buat masa ini, Kerajaan Negeri belum bercadang untuk membuat program khusus untuk meningkat kadar kemasukan ke sekolah. Walau bagaimanapun, sebagai inisiatif bagi sektor pendidikan di kalangan masyarakat orang Asli, Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Orang Asli telah bekerjasama dengan pihak NGO untuk melaksanakan program menyemai budaya membaca di kalangan masyarakat orang Asli dengan fokus kepada golongan kanak-kanak sebagai salah satu inisiatif bagi memupuk amalan budaya membaca dan menerapkan kepentingan pendidikan.

Lampiran

Tiada Lampiran.