Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023
13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)
70) PROSES PEWARTAAN TANAH
Tahun: 2023
Sesi: 1
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah proses pewartaan tanah dan adakah sekiranya ianya boleh dilakukan dalam tempoh yang lebih singkat?
Proses pewartaan adalah merupakan pelupusan tanah kerajaan secara perizaban di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara untuk tujuan maksud awam. Tanah-tanah Kerajaan yang telah mendapat kelulusan perizaban akan disiarkan di dalam Warta Kerajaan Negeri Selangor. Segala perincian maklumat berkaitan tanah tersebut akan dimasukkan didalam siaran warta berserta Pegawai Pengawal dan Pegawai Penyelenggara yang dilantik. Perizaban tanah Kerajaan melibatkan proses di beberapa agensi kerajaan seperti Pejabat Daerah dan Tanah, Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Negeri Selangor sebelum siaran warta boleh dilakukan. Di peringkat Pentadbir Tanah, tempoh masa proses perizaban boleh dikurangkan sekiranya pemohon mengemukakan permohonan lengkap bersama Pelan Akui. Piagam pelanggan yang ditetapkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Petaling bagi permohonan perizaban adalah 6 bulan sehingga kertas pertimbangan diangkat ke Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS). Selanjutnya, pihak PTGS akan mengangkat permohonan tersebut kepada Y.A.B Menteri Besar Selangor bagi mendapatkan kelulusan perizaban dan jangka masa proses adalah selama 2 bulan.
Sekiranya permohonan perizaban yang dikemukakan tidak mempunyai Pelan Akui (PA), tambahan masa selama 3 bulan diperlukan bagi proses permintaan ukur sehingga pengeluaran PA oleh pihak JUPEM. Tempoh masa 3 bulan diperlukan oleh Kamar Undang-Undang Negeri Selangor untuk proses semakan draft warta perizaban dan jika telah selesai akan diserahkan kepada Syarikat Percetakan Nasional Berhad untuk dicetak dan disiarkan. Secara keseluruhanya tempoh masa selama 14 bulan diperlukan bagi sesuatu permohonan perizaban diselesaikan dari permohonan diterima hingga siaran warta dikeluarkan oleh Syarikat Percetakan Nasional Berhad. Status terkini perizaban padang PKNS Kampung Sungai Kayu Ara adalah di peringkat penyediaan Pelan Akui oleh pihak JUPEM.
-
Sila terangkan secara terperinci dan jangka masa pewartaan tanah dan jangka masa Pewartaan Padang PKNS Kg. Sungai Kayu Ara sebagai kawasan lapang.
Permohonan Pewartaan Tanah Padang PKNS Kg Kayu Ara sebagai kawasan lapang telah dikemukakan kepada Pentadbir Tanah iaitu Pejabat Tanah Daerah Petaling pada 30 Ogos 2021 untuk tujuan perizaban bagi ‘maksud awam’. Berkaitan jangka masa proses pewartaan Kerajaan di bawah seksyen 62 Kanun Tanah Negara di bawah tindakan Pejabat Tanah Daerah Petaling.