Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

65) KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA (KSM)

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Shatiri Bin Mansor

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sejauh manakah Kerajaan Negeri terlibat dengan KSM setelah terbentuknya Kerajaan Perpaduan?

    Semenjak pembentukan Kerajaan Perpaduan, Kerajaan Negeri Selangor melalui Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) telah merancang dan melaksanakan pelbagai inisiatif dengan kolaberasi bersama beberapa agensi utama seperti Sistem Insurans Pekerjaan (EIS), MyFutureJobs dan Pertubuhan Kebajikan Sosial (PERKESO) yang bernaung di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM). Setakat ini, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Pekerja telah melaksanakan dua (2) program khusus untuk penganggur dan para pencari kerja di Selangor yang berdaftar dengan Sistem Insurans Perkerjaan ataupun Employment Insurance System (EIS) melalui kerjasama UPPS dan MyFutureJobs. Salah satu daripada program tersebut adalah disasarkan untuk pencari kerja yang terdiri dari golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).

    Disamping itu, Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan dua (2) program kerjaya dengan kerjasama pihak Pertubuhan Kebajikan Sosial (PERKESO) iaitu Karnival Kerjaya sempena Hari Wanita yang dijadualkan pada 11 Mac 2023 di Dewan Hamzah, Klang serta Jelajah JobCare di sembilan (9) daerah di Negeri Selangor yang akan dilaksanakan dalam masa yang terdekat. Program dengan kerjasama PERKESO ini dianjurkan adalah selaras dengan objektif penubuhan UPPS bagi membantu mengaktifkan semula ekonomi para pekerja yang terjejas dalam menjana pendapatan di samping menerokai peluang – peluang pekerjaaan yang baharu. Selain itu, program ini juga adalah merupakan salah satu strategi Kerajaan Negeri dalam usaha membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan serta mengalami hilang upaya untuk kembali bekerja semula sekaligus membantu Kerajaan Negeri dalam usaha mengurangkan kadar pengangguran yang meningkat di negeri ini disamping menyumbang ke arah peningkatan produktiviti negara.

    Dalam pada itu, Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Pekerja melalui Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) akan memperbanyakkan lagi program – program dengan jalinan kerjasama daripada agensi – agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) agar objektif utama penubuhan jawatankuasa bagi mengurangkan kadar pengangguran di Negeri Selangor dapat dicapai dengan jayanya.

Lampiran

Tiada Lampiran.