Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

51) LARANGAN PENJUALAN ARAK DI KEDAI SERBANEKA DAN MINIMARKET 24 JAM

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Fakhrulrazi Bin Mohd Mokhtar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaaan Negeri ada perancangan untuk meminda enakmen hanya membenarkan penjualan arak di kedai serbaneka dalam kawasan majoriti penduduk bukan Islam dan tiada pembaharuan lesen jualan arak dan minuman keras di kawasan majoriti penduduk Islam?

    Pada masa ini, PBT hanya mengeluarkan lesen perniagaan berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan sama ada untuk perniagaan besar, sederhana dan kecil. Setiap perniagaan yang melibatkan penjualan arak perlu mendapat tambahan lesen/ permit khas arak yang dinyatakan di bawah Akta Kastam 1967 (Akta 235) dan Akta Eksais 1976 (Akta176).

     

    Di Negeri Selangor, kuasa melulus lesen/ permit khas penjualan arak adalah di bawah bidang kuasa pihak Lembaga Pelesenan Eksais Pejabat Daerah dan Tanah. Oleh yang demikian, penjualan arak berdasarkan Akta Kastam 1967 (Akta 235) dan Akta Eksais 1976 (Akta 176) adalah tidak dibenarkan sekiranya tidak mendapat kelulusan oleh Lembaga Pelesenan Eksais Pejabat Daerah dan Tanah.

     

    Walau bagaimanapun, PBT sedia memberi kerjasama dalam melaksanakan pemantauan ke atas perniagaan-perniagaan yang menerima kelulusan lesen penjualan arak bagi memastikan perniagaan ini adalah dalam keadaan terkawal. Tindakan penguatkuasaan seperti kompaun dan notis berhenti niaga boleh dikenakan ke atas kedai yang menjual arak tanpa lesen.

     

    Di bawah Undang-Undang Kecil PBT, tiada peruntukan khusus berkenaan larangan umat Islam daripada terlibat secara langsung dalam aktiviti industri arak. Walau bagaimanapun, dalam memastikan kawalan ke atas penjualan arak, Kerajaan Negeri telah menetapkan satu kaedah secara Kawal Selia Sendiri (Self Regulatory) bagi penjualan minuman beralkohol di setiap PBT seperti berikut:

     

    • Mensyaratkan peniaga meletakkan papan tanda larangan menjual minuman beralkohol bagi orang islam yang berumur 21 tahun ke bawah;

     

    • Menampal poster larangan menjual minuman beralkohol kepada orang islam di pintu/ dinding depan premis;

     

    • Mensyaratkan waktu operasi penjualan minuman keras mengikut waktu yang dibenarkan. Contohnya sehingga jam 12.00 malam; dan

     

    • Mensyaratkan peniaga untuk memastikan pelanggan tidak minum minuman keras di hadapan premis dan tempat terbuka; dan

     

    • Mengasingkan minuman beralkohol dengan minuman/ makanan lain.

     

    Untuk makluman, kesalahan bagi umat islam yang terlibat secara langsung dengan arak boleh dirujuk di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 di bawah Seksyen 18 (1) dan (2).

Lampiran

Tiada Lampiran.