Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023
13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)
47) NYAMUK AEDES & KESIHATAN AWAM
Tahun: 2023
Sesi: 1
Isu: Kesihatan
Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah inisiatif yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk mengurangkan kadar wabak denggi di kawasan Daerah Klang dan khususnya DUN Sentosa?
Antara inisiatif yang dijalankan dalam memerangi masalah denggi di daerah Klang termasuk DUN Sentosa dan Selangor adalah:
- Melaksanakan Program Selangor bebas Aedes di Tempat Kerja dan Kuarters;
- Memperhebatkan Pemeriksaan Tempat Pembiakan (PTP) di tempat-tempat tumpuan awam seperti Taman Rekreasi, Kompleks Membeli Belah, sekolah, pasar, stadium dan sebagainya termasuk di lokaliti sporadik;
- Mengadakan ceramah dan latihan kepada kontraktor pembersihan mengenai cara memusnahkan tempat pembiakan nyamuk;
- Mengadakan taklimat denggi kepada semua pemaju dan syarikat Pest Controller Operator (PCO) di tapak bina dan premis berisiko seperti kedai besi buruk, kedai barang lusuh, kedai menjual barang ganti terpakai;
- Mengadakan taklimat Demam Denggi kepada JMB di Bangunan Strata;
- Mengeluarkan notis pembersihan kepada pemilik tanah persendirian dan rumah kosong supaya kawasan persekitaran tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk dan kacauganggu;
- Menjemput wakil DUN, Ahli Majlis, JKKK, Pengerusi Taman, wakil JMB menghadiri Mesyuarat Tindakan Denggi Peringkat Daerah yang diadakan setiap minggu dalam membincangkan/ mengatasi masalah di kawasan Denggi masing-masing;
- Mengadakan Program Pendidikan Kesihatan tentang penyakit Demam Denggi di sekolah dan tadika secara berkala;
- Pemberian Aerosol oleh Ahli Majlis kepada penduduk dalam program Gotong Royong Cegah Denggi;
- Pemberian ‘handpump’ oleh Ahli Majlis dan pemberian racun BTi daripada Pejabat Kesihatan Daerah ke sekolah-sekolah dan wakil komuniti dalam usaha memusnahkan tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes;
- Memperbanyakkan aktiviti semburan ‘larvasiding’ menggunakan racun ‘BTi’ dan Temephos di kawasan-kawasan berpotensi pembiakan nyamuk Aedes;
- Menjalankan tunjuk ajar dan pemberian racun BTi kepada wakil KRT, MPKK dan JMB dalam usaha menggalakkan program semburan ‘larvasiding’ kendiri di kawasan masing-masing;
- Mewujudkan ‘group whatApps’ bersama ketua-ketua KRT, JMB dan MPKK dalam membincangkan masalah yang dihadapi di kawasan masing-masing dalam menjalankan kawalan dan pencegahan Demam Denggi;
- Mengaktifkan Program Lorong Belakang di mana penduduk digalakkan menjalankan aktiviti pemusnahan tempat pembiakan di lorong belakang setiap minggu. Satu Operasi Bersepadu Denggi Selangor (OBDS) sedang dijalankan di Dun Sentosa di mana operasi berfokus kepada penyimpanan/pembuangan sampah pukal yang menjadi potensi tempat pembiakan nyamuk Aedes di lorong belakang, kebun haram serta masalah kebersihan persekitaran.