Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

27) PRESTASI MAJLIS PENGURUSAN KOMUNITI KAMPUNG (MPKK)

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah peruntukan yang telah dibelanjakan oleh setiap MPKK bagi tahun 2021/2022, nyatakan prestasi MPKK mengikut DUN?

    Sila rujuk lampiran.

  2. Apakah perancangan Kerajaan Negeri bagi memperkasakan organisasi MPKK di setiap DUN?

    Kerajaan Negeri telah merangka pelbagai program untuk memperkasakan organisasi MPKK. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri memberi perhatian secara menyeluruh dan bukan menumpu berdasarkan DUN. Setiap tahun, Kerajaan Negeri melaksanakan kursus-kursus kepimpinan kepada semua Pengerusi MPKK dan Biro-biro secara bersiri. Kursus kepimpinan ini memberi fokus kepada pembangunan sahsiah dan pendedahan kepada fungsi serta tanggungjawab setiap Pengerusi MPKK dan biro-biro di bawahnya. Antara kursus yang telah dilaksanakan adalah Kursus Integriti Ketua Kampung Tradisi dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kursus Pemantapan Pengurusan MPKK di Pusat Latihan Awam Selangor (PLAS), Morib. Pada tahun 2023 ini, Kerajaan Negeri juga sedang merangka program bina semangat atau team building yang bertujuan untuk meningkat persefahaman di antara Pengerusi MPKK Kampung Tradisi di setiap daerah. Pada masa yang sama juga, program ini akan membentuk jati diri dan pemahaman kepada halatuju pembangunan fizikal dan sosial negeri. Kerajaan Negeri juga akan bekerjasama dengan Institut Kemajuan Desa (INFRA) bagi kursus-kursus pembangunan institusi MPKK negeri. Antara kursus yang dirancang adalah kursus Kepimpinan Desa, Pengurusan Desa, Program Ilham Desa, Seminar Institusi Pentadbiran Peringkat Kampung (IPPK), Pemantapan Personaliti Pemimpin Desa, dan Pemerkasaan Biro MPKK. Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga telah menyatakan hasrat kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Malaysia (KKDW) untuk menaik taraf potensi dan pendidikan Pengerusi-pengerusi MPKK melalui program Diploma Profesional Pembangunan Luar Bandar. Walau bagaimanapun, kursus-kursus ini akan bermula selepas pelantikan Pengerusi MPKK yang baharu selepas Pilihanraya Negeri akan datang.