Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

4) LIPUTAN HUTAN SIMPAN 50%

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Puan Elizabeth Wong Keat Ping

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah komitmen Kerajaan Negeri Selangor untuk mengekalkan litupan hutan 50% daripada permukaan bumi selaras dengan Deklarasi Langkawi 1988, komitmen di Persidangan Rio 1992 dan ditegaskan dalam setiap sidang Majlis Tanah Negara di mana Kerajaan Negeri Selangor dianggotai oleh Menteri Besar?

    Komitmen Kerajaan Negeri Selangor untuk mengekalkan litupan hutan 50 peratus di Malaysia adalah seperti berikut:-

    • Menjadikan komitmen mengekalkan sekurang-kurangnya 30 peratus hutan simpanan kekal daripada keluasan tanah negeri sebagai salah satu strategi di bawah Teras Kelestarian dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1). Sehingga kini, keluasan HSK di negeri Selangor adalah berjumlah 250,250.33 hektar atau bersamaan 31.6 peratus berbanding 30.55 peratus pada tahun 2008;

     

    • Mengenalpasti mana-mana kawasan hutan yang berstatus tanah kerajaan, tanah rizab dan tanah berimilik yang berpotensi untuk diwartakan sebagai HSK;

     

    • Menguatkuasakan kaedah penyiasatan awam bagi mana-mana kawasan HSK yang ingin dinyahwarta;

     

    • Mengenakan syarat untuk penggantian kawasan yang lebih setara bagi mana-mana kawasan HSK yang diyahwarta dan proses ini perlu dilaksana secara serentak;

     

    • Mengamalkan Dasar Moratorium ke atas Pembalakan dalam HSK selama 25 tahun sejak tahun 2010;

     

    • Menyokong inisiatif untuk menjana hasil baharu negeri melalui Mekanisme Kewangan Hijau (Green Financing Mechanism) seperti Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT), Payment For Ecosystem Services (PES), Carbon Credit dan sebagainya;

     

    • Memperoleh pensijilan pengurusan hutan antarabangsa dengan mematuhi Standard Kriteria dan Petunjuk (Malaysia and Indicators, MC&I) Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (Sustainable Forest Management, SFM);

     

    • Menyokong segala dasar dan ketetapan di peringkat persekutuan dan antarabangsa seperti Program Penghijauan Malaysia yang telah dilancarkan melalui Kempen Penanaman 100 juta Pokok bagi tempoh tahun 2021 hingga 2025. Pelaksanaan program ini juga telah disambut baik dengan pelancaran Kempen Penanaman 26 juta pokok di negeri Selangor bermula tahun 2022 hingga 2025 sempena tempoh pemerintahan DYMM Sultan Selangor masa kini. Majlis pelancaran kempen ini telah diadakan pada 24 September 2022 yang lalu bertempat di HS Bukit Broga, Semenyih;

     

    • Memelihara Kawasan Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (CFS) melibatkan dua koridor Secondary Linkages (SL) iaitu BSL1: HS Raja Musa – HS Bukit Tarek – HS Gading dan BSL2: HS Sg. Lalang – HS Hulu Langat;dan

     

    • Meningkatkan aktiviti penguatkuasaan hutan melalui rondaan berkala, operasi bersepadu dan penggunaan teknologi satelit. Berdasarkan rekod, jumlah kompaun pada tahun 2022 adalah berjumlah RM129,160.80 dengan bilangan kes kesalahan hutan sebanyak 34 kes. Elemen penguatkuasan hutan amat penting dalam mencegah kehilangan hasil negeri yang amat bernilai tinggi.

Lampiran

Tiada Lampiran.