Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

289) E-WALLET (WAVPAY)/ PENDIGITILISASIAN

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Sains, Teknologi & ICT

Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila lampirkan semua perbelanjaan langsung dan tidak langsung termasuk kos publisiti,logistik Kerajaan Negeri mengenai E-Wallet Wavpay sejak dilancarkan.

    Pada awal tahun 2022 Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) telah membeli saham ekuiti sebanyak empat puluh sembilan peratus (49%) dalam syarikat Wavpay Fintech Holding Sdn Bhd (“WFHSB”) dengan harga jualan berjumlah sebanyak RM10.0 juta (berdasarkan penilaian ke atas syarikat-syarikat dalam Kumpulan Wavpay”).  WFHSB memiliki pegangan saham sebanyak seratus peratus (100%) dalam syarikat Wavpay Systems Sdn Bhd, Wavpay Credit Sdn Bhd dan Wavpay e-Commerce Sdn Bhd.

    E-Wallet Wavpay adalah perkhidmatan yang sediakan oleh Wavpay Systems Sdn Bhd yang merupakan syarikat e-money Issuer yang diluluskan oleh Bank Negara Malaysia.  Setakat ini, selain kos pelaburan dalam ekuiti saham WFHSB di atas, Kerajaan Negeri tiada membiayai kos lain berhubung e-Wallet Wavpay.

  2. Apakah prestasi penggunaan E-Wallet ini bagi tujuan berkaitan program kerajaan dan bukan program kerajaan?

    E-Wallet Wavpay telah digunakan untuk pembayaran Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (“BINGKAS”) bermula pada 1 Julai 2022. Jumlah penyaluran dana untuk Program BINGKAS menggunakan e-Wallet Wavpay adalah sebanyak RM53.5 juta dan memanfaatkan 25,343 orang penerima.

    Kerajaan Negeri juga telah menggunakan kemudahan perkhidmatan e-Wallet Wavpay untuk mendaftar secara digital rakyat Malaysia yang layak untuk mendapat perlindungan insurans kemalangan diri di bawah Program Skim Insurans Am Negeri Selangor (“Program INSAN”).  Sehingga 28 Februari 2023 seramai 3,581,484 orang telah berdaftar dengan Program INSAN.

    E-Wallet Wavpay juga menyediakan kemudahan pinjaman di atas talian sehingga RM10,000 melalui kemudahan Advance Gaji yang ditawarkan kepada peminjam yang layak yang bekerja dengan pihak swasta dan juga kerajaan.  Antara lain Wavpay juga akan menawarkan kemudahan pelaburan, pembayaran bil dan pakir selain menyediakan platform e-Commerce untuk pengguna.

    Penggunaan kaedah digital melalui e-Wallet Wavpay membolehkan insiatif Kerajaan Negeri dapat dilaksanakan dengan cepat.  Sebagai contoh, BINGKAS dilancarkan dalam masa kurang dari 2 bulan, manakala Program INSAN telah dilancarkan dalam masa sebulan.  Selain itu, penyaluran bantuan dapat dilaksanakan dengan lebih terkawal dari segi pembelian barang yang dibenarkan di bawah bantuan tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.