Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

272) KES MAHKAMAH PENCEMARAN ALAM SEKITAR

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan perkembangan kes-kes mahkamah berkaitan dengan pencemaran air dan alam sekitar.

    Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor dalam menguatkuasakan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 telah menjalankan penguatkuasaan secara berterusan ke atas premis-premis yang terdapat di Selangor. Berikut adalah statistik tindakan mahkamah yang telah didaftarkan di Mahkamah dari tahun 2020 hingga 2022:

  2. Apakah tindakan kerajaan bagi mengetatkan tindakan penguatkuasaan bagi isu-isu pencemaran dan pencerobohan alam sekitar?

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) NegerI Selangor dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sentiasa menjalankan pemantauan secara bersepadu bersama pihak Pihak Berkuasa Tempatan dan Pejabat Daerah dan Tanah dalam memastikan alam sekitar terpelihara dari ancaman pencemaran. Selaras dengan itu, sebarang pelanggaran dan kesalahan berkaitan pencemaran akan diambil tindakan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) melalui Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974. Pihak LUAS dan pihak Pihak Berkuasa Tempatan dan Pejabat Daerah dan Tanah juga boleh mengambil tindakan perundangan bagi kesalahan yang tertakluk di bawah bidang kuasa masing-masing.

    Bagi mengetatkan tindakan penguatkuasaan isu-isu pencemaran dan pencerobohan alam sekitar, Kerajaan Negeri melalui JAS dan LUAS telah mengambil tindakan-tindakan yang berikut iaitu:

    • Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor khususnya dari tahun ke tahun telah melipatgandakan penguatkuasaan ke atas punca-punca yang tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Berdasarkan data yang direkodkan pada tahun 2022, JAS Negeri Selangor telah menjalankan sebanyak 3,493 pemeriksaan ke atas premis industri. Tindakan penguatkuasaan juga telah diambil oleh JAS Selangor ke atas ketidakpatuhan yang berlaku. Antaranya ialah 2,020 kompaun dan 28 kes dikenakan tindakan mahkamah.
    • JAS Negeri Selangor turut menjalankan Operasi Gempur (Ops Gempur) pada setiap bulan dengan menyasarkan premis-premis di lokasi-lokasi hotspot pencemaran terutamanya kepada punca sumber air. Pada tahun 2022, sebanyak 12 Ops Gempur telah dijalankan dengan jumlah pemeriksaan premis sebanyak 333 pemeriksaan. Melalui Ops tersebut, beberapa tindakan penguatkuasaan telah diambil, antaranya ialah 579 Notis arahan, 982 kompaun, 10 Penahanan Operasi Kelengkapan dan 3 tindakan mahkamah telah diambil oleh JAS Selangor.
    • JAS Negeri Selangor sentiasa menjalankan rondaan pemantauan dan pencegahan aktiviti pencemaran terutamanya di luar waktu bekerja termasuk cuti hujung minggu dan cuti kelepasan am melalui darat dan juga pemantauan air surveillance menggunakan peranti dron di lokasi-lokasi spesifik yang kerap kali diadukan oleh orang awam dan sebagainya.
    • LUAS melalui Skuad PANTAS LUAS menjalankan rondaan 24 jam bagi memastikan tindakan-tindakan pemuliharaan kualiti sumber air dan penguatkuasaan ke atas pihak yang menyebabkan aktiviti pencemaran dapat diambil tindakan;
    • LUAS melalui Unit Penguatkuasaan LUAS menjalankan tinjauan sungai-sungai di Negeri Selangor bagi mengenalpasti aktiviti-aktiviti dalam 50-meter rizab sungai yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air;
    • LUAS menjalankan pemantauan yang kerap ke atas kawasan-kawasan yang telah diisytiharkan sebagai zon perlindungan di bawah seksyen 48 Enakmen LUAS antaranya seperti kawasan empangan dan kolam-kolam sumber air alternatif;
    • LUAS melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara penyitaan di bawah Seksyen 99A sehingga seksyen 99F Enakmen LUAS 1999 ke atas harta benda yang mempunyai perkaitan dengan kesalahan;
    • LUAS mengambil tindakan penguatkuasaan secara pengkompaunan atau pendakwaan secara terus bagi kesalahan-kesalahan berkaitan pencemaran sumber air tapa lesen daripada Pengarah; dan
    • LUAS melaksanakan Polisi Pelepasan Sifar (Zero Discharge Policy-ZDP) melalui pengenalan peraturan baharu Peraturan Pelesenan Pembuangan Air Kembalian, dan Kemasukan atau Pelepasan Bahan Buangan dan Bahan Pencemar (Negeri Selangor) 202X (Peraturan ZDP). Peraturan baharu ini adalah penambahbaikan kepada peraturan sedia ada iaitu penambahan aktiviti yang memasukkan bahan buangan dan bahan pencemar di samping penambahan elemen baharu iaitu pelesenan dan pengenaan caj pembuangan air kembalian. Di samping itu pengenaan deposit dan sekuriti sehingga RM100,000 bagi pematuhan kepada syarat-syarat dan sekatan-sekatan di dalam Peraturan ZDP menjadikan pemegang-pemegang lesen mematuhi syarat-syarat dan sekatan-sekatan lesen supaya deposit dan sekuriti yang dikenakan tidak dilucuthakkan.

Lampiran

Tiada Lampiran.