Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

260) JARAK PENAMPAN INDUSTRI BERAT DENGAN KEDIAMAN

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah keperluan zon penampan iaitu jarak kilang industri berat dengan kawasan penempatan terdekat dalam Manual Garis Panduan Piawaian Perancangan Negeri Selangor (Edisi Ketiga)?

    Untuk makluman Manual Garis Panduan dan Piawaian Perancangan Negeri Selangor (Edisi Ketiga) yang telah diluluskan oleh MMKN ke 35/2016 pada 19 Oktober 2016, telah digantikan dengan edisi baharu Manual Garis Panduan dan Piawaian Perancangan Negeri Selangor (Edisi Keempat) yang telah diluluskan pemakaiannya oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) ke 15/2022 bertarikh 22 Jun 2022 dan telah disahkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) ke 16/2022 bertarikh 6 Julai 2022.

    Berdasarkan kepada manual yang sedang berkuatkuasa ini, keperluan zon penampan bagi kilang industri berat dengan kawasan penempatan adalah pada jarak 300 meter (jarak di antara dinding bangunan industri berat ke dinding bangunan kediaman). Penetapan jarak zon penampan ini adalah selaras dengan Guidelines for Sitting and Zoning of Industry and Residential Areas, 2012 dan Guidelines Environmental Essential for Sitting of Industries In Malaysia (EESIM), 2017 terbitan Jabatan Alam Sekitar serta telah diselaraskan dalam penetapan zon gunatanah dan kelas gunatanah Rancangan Tempatan yang diwartakan bagi kawasan perindustrian di Pihak Berkuasa Tempatan.

    Keperluan zon penampan pada jarak 300 meter ini ditetapkan setelah mengambilkira kemajuan aplikasi dan teknologi bagi mengawal pencemaran yang dikeluarkan oleh industri berkaitan atau tindakan mengubah suai proses pengeluaran dengan kaedah kawalan teknologi terbaik (Best Available Technology, BAT) dan teknologi kawalan terbaik tersedia (Best Available Control Technology, BACT).

  2. Apakah input Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Perancangan Bandar Desa sekiranya jarak ini berbeza dengan Edisi Kedua?

    Penetapan zon penampan bagi kawasan industri dalam Manual Garis Panduan dan Piawaian Perancangan Negeri Selangor pada asasnya adalah berdasarkan kepada Guidelines for Sitting and Zoning of Industry and Residential Areas terbitan Jabatan Alam Sekitar. Merujuk kepada Manual Garis Panduan dan Piawaian Perancangan Negeri Selangor (Edisi Kedua) yang telah diluluskan pemakaiannya oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) ke 39/2010 pada 27 Oktober 2010, keperluan zon penampan bagi kilang industri berat dengan kawasan penempatan adalah pada jarak 500 meter.

    Manakala merujuk kepada Manual Garis Panduan dan Piawaian Perancangan Negeri Selangor (Edisi Keempat) terkini yang sedang berkuatkuasa sepertimana dinyatakan sebelum ini, keperluan zon penampan bagi kilang industri berat dengan kawasan penempatan telah dikurangkan pada jarak 300 meter. Jarak zon penampan baharu ini adalah selaras dengan garispanduan terkini yang digunapakai oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor iaitu Guidelines for Sitting and Zoning of Industry and Residential Areas (Second Revised Edition, Oktober 2012) dan  Guidelines Environmental Essential for Sitting of Industries In Malaysia (EESIM), 2017 terbitan Jabatan Alam Sekitar sebagai panduan untuk mengawal pencemaran yang dikeluarkan oleh industri berkaitan dengan mengaplikasikan kemajuan teknologi atau mengubah suai proses pengeluaran dengan kaedah kawalan teknologi terbaik (Best Available Technology, BAT) dan teknologi kawalan terbaik tersedia (Best Available Control Technology, BACT).

    Bagi tujuan penyelarasan kawalan perancangan dan pembangunan, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor (PLANMalaysia Selangor) akan bersama-sama memastikan penyelarasan keperluan zon penampan bagi kilang industri berat dengan kawasan penempatan di Negeri Selangor adalah selaras dengan penetapan zon gunatanah dan kelas gunatanah Rancangan Tempatan yang diwartakan. Antara aktiviti yang dibenarkan dalam kelas gunatanah bagi zon penampan adalah jalan raya, longkang dan parit, tempat letak kereta, tanah lapang dan rekreasi, pertanian dan lain-lain aktiviti guna tanah yang sesuai dan dibenarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan.

Lampiran

Tiada Lampiran.