Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023
13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)
254) ISU LEMBU, MONYET DAN ANJING LIAR YANG BERKELIARAN DI JALAN-JALAN UTAMA
Tahun: 2023
Sesi: 1
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Adhif Syan Bin Abdullah
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah tindakan bagi menyelesaikan isu haiwan liar yang berkeliaran di taman-taman perumahan khususnya di jalan raya sehingga mengakibatkan kemalangan/ kematian?
Kerajaan Negeri bersama dengan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melaksanakan kerja-kerja kawalan anjing liar dengan menggunapakai Pekeliling Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Bilangan 5 Tahun 2014. Semua PBT di Negeri Selangor menggunapakai Tatacara Operasi Piawai (SOP) Penangkapan dan Pelupusan Anjing Terbiar Di kawasan PBT dengan melaksanakan operasi tangkapan anjing liar secara berterusan berdasarkan aduan dan pemantauan di kawasan hot-spot.
Dalam Enakmen Mengawal Lembu Kerbau 1971 (Enakmen Selangor No.3 Tahun 1971) menyatakan bahawa suatu kawasan PBT atau sebahagiannya merupakan kawasan larangan bagi lembu kerbau. Jesteru itu, lembu-lembu yang berkeliaran di kawasan larangan boleh diklasifikasikan sebagai lembu ternakan yang tidak bertuan dan tindakan seperti tangkapan boleh dilaksanakan ke atas lembu tersebut.
Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhilitan Selangor Sentiasa berusaha mengawal populasi kera dan mengatasi aduan kacau ganggu hdupan liar berdasarkan kepada prosedur yang ditetapkan seperti berikut:
- Bagi kawalan spesies konflik kera dan beruk, tindakan penakaian (culling) digunakan dalam kawalan populasi konflik. Pelupusan populasi konflik dilaksanakan secara terancang melalui pemasangan perangkap, operasi terjadual, operasi bersepadu basmi musuh tanaman bersama penduduk setempat dan stakeholder yang terlibat.
- Menjalankan kajian anggaran populasi dan taburan bagi menentukan pengkelasan tahap/zon keseriusan konflik bagi penyelarasan tindakan Jabatan.
- Melaksanakan kempen kesedaran awam bagi meningkatkan kesedaran awam dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tentang kepentingan habitat sesuai serta langkah pencegahan kacau ganggu kera dan beruk yang melibatkan gangguan kesejahteraan di kawasan perumahan dan kemalangan. Usaha kempen ini dijalankan menerusi cetakan risalah, hebahan melalui media masa seperti facebook/ Instagram/ tiktok dan pemasangan papan tanda lintasan hidupan liar.