Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

246) HUTAN PAYA BAKAU

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Ronnie Liu Tian Khiew

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah-langkah Kerajaan Negeri untuk menjaga dan mengekalkan hutan simpan dan paya bakau?

    Secara umumnya, keluasan hutan simpanan kekal di Selangor sehingga kini berjumlah 250,250.33 hektar atau bersamaan 31.6 peratus daripada keluasan tanah negeri. Daripada jumlah tersebut, seluas 18,998 hektar adalah merupakan jenis hutan paya laut yang terletak di sepanjang persisir pantai negeri Selangor.

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Jabatan Perhutanan Negeri telah mengambil tindakan sewajarnya dan merancang beberapa langkah untuk memelihara serta melindungi fungsi hutan paya laut seperti berikut:-

    1. Mengenalpasti dan meluluskan seluas 331.56 hektar hutan paya laut yang berstatus tanah kerajaan untuk diwartakan sebagai hutan simpanan kekal pada tahun 2017 dan 2019.
    2. Melaksanakan program penanaman pokok bakau di Hutan Simpanan Kekal paya bakau di Negeri Selangor. Program penanaman bakau ini juga melibatkan penglibatan agensi kerajaan/swasta, pelajar-pelajar IPT dan NGO. Sehingga kini sebanyak 60,000 bilangan pokok bakau telah ditanam melibatkan keluasan 25 hektar dari tahun 2017 hingga 2022.
    3. Mempergiat dan memperkasa penguatkuasaan hutan termasuklah di kawasan-kawasan hotspot penebangan kayu bakau secara haram. Elemen penguatkuasan hutan amat penting dalam mencegah kehilangan hasil negeri yang amat bernilai tinggi di samping melindungi fungsi hutan paya laut ini sebagai kawalan banjir dan hakisan pantai.
    4. Menguatkuasakan Kaedah Penyiasatan Awam sebagai syarat utama sekiranya terdapat permohonan penyahwartaan Hutan Simpanan Kekal (HSK);dan
    5. Melaksanakan Dasar Moratorium (Pembekuan) Ke Atas Pembalakan selama tempoh 25 tahun melibatkan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) dan hutan Tanah Kerajaan sejak tahun 2010.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.