Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023
13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)
175) MASALAH ANJING LIAR
Tahun: 2023
Sesi: 1
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Mohd Najwan Bin Halimi
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah tindakan serta rancangan Kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah anjing liar yang semakin banyak berkeliaran terutamanya di kawasan-kawasan perumahan di sekitar bandaraya Shah Alam?
MBSA melaksanakan kerja-kerja kawalan anjing liar dengan menggunapakai Pekeliling Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Bilangan 5 Tahun 2014 : Tatacara Operasi Piawai (SOP) Penangkapan dan Pelupusan Anjing Terbiar di Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan. Kaedah penangkapan yang digunakan adalah seperti berikut :
- Penggunaan perangkap iaitu pemasangan perangkap di kawasan hot-spot
- Tangkapan menggunakan jaring dan loop
- Menggunakan umpan
Bagi perlaksanaan kerja-kerja tangkapan anjing berkeliaran ini, MBSA mempunyai 2 pasukan iaitu pasukan in-house MBSA dan syarikat kontraktor yang dilantik. Terdapat 3 zon kontrak penangkapan anjing di kawasan Shah Alam iaitu Zon Tengah (Seksyen 2 – Seksyen 24), Zon Utara (Seksyen U1 – Seksyen U10, Seksyen U14 – Seksyen U20) dan Zon Selatan (Seksyen 25- Seksyen 36, Seksyen U11 – Seksyen U13). Pada tahun 2022, MBSA telah menangkap sejumlah 3,941 ekor anjing berkeliaran.
MBSA telah merancang dan melaksanakan cadangan bagi penyelesaian isu anjing berkeliaran di kawasan Shah Alam seperti berikut :
Jangka Pendek :
- Melaksanakan operasi tangkapan anjing berkeliaran di kawasan hot-spot dengan kerjasama pihak Majlis Perwakilan Penduduk (MPP).
- Melaksanakan operasi pemasangan perangkap di kawasan hot-spot
- Penambahan bilangan perangkap sediada dan pembaikkan perangkap yang telah rosak
- Menguatkuasakan undang-undang / peraturan lesen anjing peliharaan di kediaman / komersial / tapak bina
- Melaksanakan program haiwan angkat (adoption)
Jangka Pertengahan
- Mengenalpasti kawasan hot-spot aduan anjing liar
- Mengenalpasti punca urungan anjing dikawasan hot-spot
- Menguatkuasakan peraturan berkaitan kebersihan premis / lot kosong yang dikenalpasti sebagai habitat anjing (cth: memasang pagar pada lot kosong etc)
- Menjalankan aktiviti semburan kencing harimau di kawasan komersial
- Mempromosikan kempen pemilikan haiwan bertanggungjawab
Jangka Panjang
- Mewujudkan pusat pengurusan haiwan bersepadu
- Mempromosikan kempen melesenkan anjing peliharaan di Shah Alam
- Menggunakan peralatan terkini seperti ‘tele-dart’ dalam operasi tangkapan anjing berkeliaran dan terbiar
- Memberi latihan intensif berkaitan kaedah penangkapan anjing liar kepada kakitangan dari masa ke semasa
- Mempromosikan program melesenkan anjing peliharaan di Shah Alam