Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023
13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)
168) PEMBANGUNAN PERSISIR SUNGAI KLANG
Tahun: 2023
Sesi: 1
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah status Pembangunan Persisir Sungai Klang?
Status pembangunan bagi empat (4) plot tanah iaitu KL08, SA05, SA09(P2) & SA06 kini di peringkat pematuhan syarat permohonan Kebenaran Merancang yang dijangka akan selesai pada tahun ini, manakala kerja di tapak dijangka akan bermula pada suku pertama tahun 2024.
-
Apakah strategi Kerajaan Negeri bagi memastikan kelestarian Sungai Klang walau apapun pembangunan persisir yang akan berlaku?
Kerajaan Negeri telah meluluskan Garis Panduan Pembangunan Rizab Sungai Klang melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) ke 10/2022 bertarikh 13 April 2022 dan telah disahkan oleh MMKN ke 11/2022 pada 20 April 2022. Garis panduan ini telah disediakan oleh PLANMalaysia@Selangor dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pejabat Tanah dan Galian (PTG), dan lain-lain agensi kerajaan negeri. Garis panduan ini membantu Pihak Kerajaan Negeri Selangor dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam mengawal selia perancangan pembangunan yang berlaku di sepanjang rizab Sungai Klang secara holistik dan mampan demi kelestarian Sungai Klang.
Setiap pemaju pembangunan di pesisir sungai dibawah projek SMG telah memastikan agar projek pembinaan ‘Riverfront’ mengambil kira kajian hydrolik & hidrologi (ARI-200) yang diluluskan oleh pihak JPS. Rekabentuk pembangunan ‘Riverfront’ juga akan diselaraskan dengan objektif Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) melalui penyediaan kolam takungan banjir. Tambahan pula, melalui usaha ini, semua pembangunan SMG akan berteraskan “Sustainability Development Goals” (SDG) di bawah initiative “United Nations Global Compact” (UNGC) dengan memenuhi ‘Goal 11 – Sustainable Cities & Communities’.
Di samping itu, perlaksanaan projek ‘carbon offset program’ di bawah initiatif ‘Green Economy’ akan memastikan sumber kewangan yang lebih mampan bagi menampung projek pembersihan sungai melalui kaedah ‘cross-subsidy’. Semua initiatif untuk memastikan kelestarian Sungai Klang terjamin diperkukuhkan lagi melalui penubuhan satu (1) jawatankuasa pemantauan khas yang dianggotai oleh pelbagai wakil agensi kerajaan yang berkaitan yang dikenali sebagai ‘Selangor Maritime Gateway Council Committee’ (SMGCC).