Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023
13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)
161) MASALAH KECICIRAN PELAJAR
Tahun: 2023
Sesi: 1
Isu: Pendidikan
Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Terdapat beberapa sebab masalah keciciran pelajar dan dyslexia adalah salah satu daripadanya. Apakah usaha Kerajaan Negeri memberi kesedaran kepada umum khususnya ibu bapa tentangnya?
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merujuk definisi keciciran sebagai keciciran daripada sistem pendidikan iaitu murid warganegara Malaysia yang berada dalam sistem pendidikan (bersekolah) tetapi keluar daripada sistem sebelum tamat/menghabiskan tempoh pendidikan. Pelbagai usaha dilaksanakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) bagi memberi kesedaran kepada umum khususnya para ibu bapa berkaitan keciciran khasnya murid dyslexia. Antaranya ialah:-
- Murid-murid yang telah dikenalpasti menghadapi kesukaran dalam mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam kelas akan melalui Ujian Saringan Bahasa Melayu dan Matematik bagi mengenalpasti tahap dan jenis kesukaran yang dihadapi oleh murid, dan ujian ini akan dilaksanakan oleh Guru Pemulihan Khas di sekolah menggunakan instrument ujian yang telah ditetapkan. Ujian ini boleh dilakukan seawal enam bulan setelah murid mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam kelas aliran perdana. Daripada keputusan Ujian Saringan tersebut murid akan dicadangkan untuk samaada Program Pemulihan dalam bilik darjah yang dikendalikan oleh Guru Mata Pelajaran, atau pun mengikuti Program Pemulihan Khas yang dikendalikan oleh Guru Pemulihan Khas yang ada kepakaran khusus Opsyen Pemulihan Khas.
- Jika hasil Ujian Saringan tersebut didapati murid mempunyai ciri-ciri berkeperluan khas, Ibu Bapa / Penjaga akan diberikan cadangan untuk merujuk murid ini kepada Pakar Kanak-Kanan / Klinikal bagi mengenalpasti keperluan pembelajaran spesifik murid ini.
- Ibu Bapa / Penjaga akan dipanggil untuk bertemu dan berbincang dengan pihak sekolah program intervensi dan pemulihan yang perlu dirancang bagi membantu proses pemulihan murid ini untuk membolehkan murid mengikuti pembelajaran dalam kelas seperti murid-murid lainnya.
-
Apakah kaedah pemulihan yang dilakukan?
Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, dan pihak sekolah telah merangka dan merancang beberapa program bagi membantu murid-murid yang mempunyai masalah dalam mengikuti pembelajaran dalam bilik darjah.
a. Program Pemulihan:
i. Pemulihan dalam bilik darjah;
Program Pemulihan Dalam Bilik Darjah ini dikendalikan oleh guru mata pelajaran sewaktu PdP dilaksanakan dengan penumpuan khusus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik.
ii. Program Pemulihan Khas;
Murid-murid yang dicadangkan untuk mengikuti Program Pemulihan Khas akan bertemu dengan Guru Pemulihan Khas Sekolah mengikut jadual yang telah ditetapkan. Ujian Diagnostik akan dilaksanakan terhadap murid-murid ini bagi mengenalpasti aras penguasaan pembelajaran murid, dan Perancangan Pendidikan Individu akan dibuat bagi memastikan program pemulihan yang dilalui oleh murid-murid ini dapat membantu mengatasi masalah pembelajaran yang dihadapi oleh murid.
b.Pendidikan Khas:
Pendidikan Khas adalah pendidikan bagi Murid-Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) di suatu Sekolah Khas (SPK), atau di sekolah yang melaksanakan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), atau Program Pendidikan Inklusif (PPI), pada peringkat;
- Pendidikan Prasekolah,
- Pendidikan Rendah,
- Pendidikan Menengah, atau
- Pendidikan Lepas Menengah (Tingkatan Enam, Kolej Matrikulasi, IPG – dibawah KPM, dan Kolej Komuniti, IPT – di bawah KPT).
Murid Berkeperluan Pendidikan khas (MBPK) adalah murid-murid yang telah menjalani pemeriksaan pakar Klinikal (Pengamal Perubatan, atau Doktor Pakar Kanak-Kanak, atau Ahli Optik, atau Ahli Audiologi, atau Ahli Psikologi mengikut mana-mana yang berkenaan) dan disahkan menghadapi ketidakupayaan berikut;
- Ketidakupayaan Penglihatan,
- Ketidakupayaan Pendengaran,
- Ketidakupayaan Pertuturan,
- Ketidakupayaan Fizikal,
- Masalah Pembelajaran (termasuk murid Dyslexia), atau
- Mana-mana kombinasi ketidakupayaan, atau ketidakupayaan dan masalah, yang disebut dalam perenggan (i) hingga (vi).
Kurikulum Pendidikan Khas;
- Kurikulum Kebangsaan; Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) bagi MBPK yang mengikuti Program Pendidikan Inklusif (PPI) di kelas aliran perdana. Bersama-sama dengan murid aliran perdana dalam suatu kelas yang sama dan guru aliran perdana. Murid-murid ini akan menduduki peperiksaan awam sama seperti murid aliran perdana.
- Kurikulum Kebangsaan Yang Diubahsuai; Kurikulum Standard Sekolah Menengah Pendidikan Khas (KSSMPK) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah Pendidikan Khas (KSSRPK) bagi MBPK yang mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan Sekolah Pendidikan Khas (SPK). Murid-murid ini akan di nilai dengan Pentaksiran Alternatif Sekolah Menengah (PASM) yang disediakan oleh Lembaga Peperiksaan.
- Kurikulum yang dibina Khusus; Kurikulum Kebangsaan yang dibina khusus bagi memenuhi keperluan MBPK. Murid-murid ini akan di nilai dengan Pentaksiran Alternatif Sekolah Menengah (PASM) yang disediakan oleh Lembaga Peperiksaan.
- Kurikulum Latihan Kemahiran; Kurikulum Latihan Kemahiran yang digunapakai oleh Institusi Latihan Kemahiran (ILK) awam atau swasta dan mendapat kelulusan Jawatankuasa Kurikulum Pusat. KPM telah menggunapakai Skim Latihan SKM Modular yang dikendalikan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia (JPK). Murid-murid yang mengikuti kurikulum ini akan menduduki Penilaian Akhir SKM Modular pada tahun akhir latihan dan akan dianugerahkan dengan Sijil Pencapaian apabila mereka “Terampil” dalam penilaian tersebut.
Rancangan Pendidikan Individu (RPI):
Guru-Guru yang mengajar MBPK perlu menyediakan Rancangan Pendidikan Individu (RPI) bagi setiap murid selaras dengan Peraturan-Peratuarn Pendidikan (Pendidikan Khas) 2013. RPI merupakan satu rekod bertulis yang melaporkan perancangan Pendidikan secara individu berdasarkan keupayaan atau kekuatan dan kelemahan murid. RPI menyediakan pernyataan ringkas berkenaan;
- Tahap prestasi individu murid;
- Perancangan merangkumi aspek akademik dan bukan akademik;
- Sekurang-kurangnya satu matlamat jangka pendek dan Panjang berdasarkan keperluan individu murid;
- Rangkaian aktiviti yang dirancang bagi membantu murid;
- Pencapaian setiap aktiviti bagi mencapai matlamat yang telah dinyatakan;
- Perkhidmatan sokongan yang diperlukan; dan
- Persetujuan pihak ibu bapa / penjaga.
RPI perlu disemak semula apabila;
- Objektif yang ditetapkan telah tercapai;
- Objektif tidak tercapai apabila cukup tempoh masa yang ditetapkan.