Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

154) BANJIR WARGA ASING

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Warga Asing & Hal Ehwal Luar Negeri

Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah kerajaan bagi mengatasi kebanjiran warga asing yang berniaga di dalam Negeri Selangor?

    SPBT

    Tuan Speaker,

    Tiada peruntukan di dalam Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan Dan Perindustrian 2007 untuk tidak membenarkan warga asing memohon lesen perniagaan daripada PBT. Walau bagaimanapun, PBT telah mensyaratkan bagi pemegang lesen yang mengambil pekerja warga asing, hendaklah mengemukakan permit pekerjaan yang sah.

    Bagi menangani masalah pekerja warga asing yang melibatkan perniagaan dan perusahaan, PBT akan melaksanakan tindakan secara bersepadu dan komprehensif bersama agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Imigresen. Sebagai contoh bagi kes-kes yang melibatkan perniagaan kedai runcit, tindakan secara bersepadu dengan Jabatan Imigresen dilaksanakan bagi menentukan status permit pekerjaan dan visa perjalanan ke atas pekerja warga asing agar masalah ini dapat diatasi secara kolektif dengan bidang kuasa agensi berkaitan.

    Selain itu, Kerajaan Negeri Selangor telah menetapkan suatu dasar melalui Pekeliling Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan) Bilangan 1 Tahun 2020 berhubung Aktiviti Penjaja dan Peniaga Kecil di Negeri Selangor yang tidak membenarkan langsung penglibatan warga asing sebagai peniaga, pekerja atau sebagai pengganti sebagai salah satu usaha dalam membendung masalah kebanjiran warga asing di negeri ini.

    JABATAN IMIGRESEN

    Jabatan Imigresen Malaysia merupakan jabatan yang bertanggungjawab bagi memastikan warganegara dan orang asing yang masuk dan tinggal di negara ini mematuhi peruntukan-peruntukan Akta Pasport 1966, Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, dan Akta Antipemerdangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Pekeliling Imigresen Malaysia yang berkuatkuasa.

    Bagi memastikan kebanjiran warga asing sama ada untuk bekerja/ berniaga atau berada di negara ini secara sah dan syarat-syarat serta prosedur sentiasa dipatuhi, jabatan ini telah mengambil beberapa langkah dan tindakan pelaksanaan seperti berikut:

    1. Aktiviti operasi pemeriksaan penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Selangor dan aktiviti operasi   pemeriksaan penguatkuasaan secara bersepadu antara agensi Kerajaan Persekutuan dan Pihak Bekuasa Kerajaan Tempatan (PBT)

    • Mempertingkatkan lagi aktiviti perlaksanaan Operasi Pemeriksaan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Selangor terhadap aduan-aduan yang diterima yang melibatkan warga asing yang berniaga di Negeri Selangor yang dipercayai secara munasabah disyaki melanggari peruntukan Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan lain-lain perundangan imigresen yang berkaitan yang berkuatkuasa.
    • Mempertingkatkan dan memperkukuhkan lagi kerjasama erat antara agensi kerajaan di peringkat persekutuan mahupun di peringkat negeri khususnya yang membabitkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Negeri Selangor untuk turut serta berganding bahu melaksanakan aktiviti pemeriksaan warga asing yang berniaga di Negeri Selangor secara BERSEPADU untuk diambil tindakan mengikut perundangan dan kuasa agensi mahupun jabatan masing-masing yang sedang berkuatkuasa.
    • Sepanjang tahun 2022 Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Selangor telah menjalankan operasi sebanyak 309 operasi yang melibatkan 2088 tangkapan.

      2. Program Rekalibrasi Tenaga kerja (RTK) 2.0 – Tempoh pelaksanaan mulai 27 Januari 2023 hingga 31 Disember 2023

    • Kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan Program Rekalibrasi Tenaga kerja (RTK) 2.0 dengan tempoh pelaksanaan mulai 27 Januari 2023 hingga 31 Disember 2023 kepada majikan-majikan yang berkelayakan dengan melibatkan lapan (8) sektor dibenarkan dan sub-sektor iaitu perkilangan, pembinaan, perlombongan & kuari, pengawal keselamatan, perkhidmatan, pertanian, perladangan dan pembantu rumah asing. Program RTK in melibatkan lima belas (15) buah negara sumber untuk lain-lain sektor manakala bagi sektor pembantu rumah asing (PRA) melibatkan sembilan (9) buah Negara sumber.
    • Untuk itu, Jabatan Imigresen Malaysia sebagai salah satu agensi yang dipertangungjawabkan bagi perkara ini menyeru dan menggalakkan mana-mana majikan yang berkelayakan untuk mendaftar dan menyertai program RTK 2.0 dengan tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan.

    Dengan langkah kerajaan dan penguatkuasaan yang berterusan ini oleh Jabatan Imigresen dan agensi-agensi yang berwajib akan dapat mengurangkan lambakan pekerja asing di samping memelihara keselamatan dan ketenteraman awam di Negeri Selangor.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.