Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

127) PROGRAM BLUEPRINT PEMBASMIAN KEMISKINAN

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah peniaga yang telah manfaat dalam program ini?

    Yang Berhormat Rawang, berdasarkan rekod dari tahun 2017 sehingga September 2022, jumlah keseluruhan penerima manfaat bagi Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan adalah seramai 2,393 orang dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM9,797,340.00 (Ringgit Malaysia : Sembilan Juta Tujuh Ratus Sembilan Puluh Tujuh Ribu Tiga Ratus Empat Puluh) telah dibelanjakan untuk membantu meningkatkan taraf sosio ekonomi golongan sasar iaitu peniaga kecil yang berpendapatan seisi rumah RM3,000 ke bawah menerusi pemberian peralatan dan mesin mengikut perniagaan yang sedang mereka jalankan. Perincian jumlah penerima mengikut daerah adalah seperti berikut :-

  2. Apakah aduan yang kerap menerima berkenaan program ini?

    Untuk makluman Yang Berhormat Rawang juga, Jawatankuasa Tetap Pembangunan Sosio Ekonomi tidak kerap atau jarang menerima aduan berhubung program ini kerana kebiasaannya rakyat di luar sana atau pemohon lebih kerap bertanya berkenaan dengan tempoh masa penerimaan bantuan ataupun syarat-syarat berkenaan program ini. Saya yakin, aduan bagi program ini telah menjadi sangat minima oleh kerana kerjasama yang amat baik daripada Pejabat Daerah dan Tanah terutamanya penghulu-penghulu yang telah menerangkan dan menjelaskan dengan baik berkenaan proses-proses yang perlu dilalui oleh pemohon bermula dari proses mengisi borang permohonan sehinggalah peralatan atau mesin yang mereka pohon tiba di hadapan pintu rumah atau kedai.

  3. Apakah perancangan bagi penambahbaikan program ini?

    Jawatankuasa Tetap Pembangunan Sosio Ekonomi sentiasa menyambut baik cadangan atau komen untuk menambahbaik program bantuan ini. Sehubungan dengan itu, dalam mempercepatkan tempoh masa pembekalan dan penghantaran peralatan dan mesin kepada penerima, Kerajaan Negeri menerusi keputusan MMKN ke 22/2022 bertarikh 14 September 2022 telah bersetuju  dengan pelantikan Koperasi Hijrah Selangor (Kohijrah) sebagai agensi pelaksana Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan dan Program Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor. Oleh itu, Kohijrah memainkan peranan sebagai agensi pelaksana selain berperanan untuk memberi cadangan, penambahbaikan dan pemakluman kepada Kerajaan Negeri khususnya berkenaan dengan mesin atau peralatan yang terbaik untuk diberikan kepada rakyat yang merangkumi aspek seperti jenama yang tahan lama dan tahan lasak, model terbaharu, mesin yang berteknologi terkini sesuai dengan harga yang ditawarkan  demi memberikan kualiti yang terbaik kepada penerima manfaat. Selain daripada itu, Jawatankuasa Tetap Pembangunan Sosio Ekonomi juga merancang untuk bekerjasama dengan Standco Pembangunan Usahawan untuk membawa penerima-penerima bantuan program Blueprint untuk menyertai pameran dan promosi produk melalui EXPO, jelajah atau sebagainya sama ada di dalam negara atau ke luar negara serta merancang untuk bekerjasama dengan Platform Selangor (PLATS) untuk digitalisasi perniagaan secara di atas talian.

Lampiran

Tiada Lampiran.