Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023
13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)
124) CAPAIAN INTERNET DI KAWASAN LUAR BANDAR
Tahun: 2023
Sesi: 1
Isu: Sains, Teknologi & ICT
Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah Kerajaan Negeri sedar bahawa capaian internet di kawasan luar bandar masih amat rendah sekali?
Menurut data terkini daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), melalui inisiatif JENDELA Fasa 1 yang telah dijalankan di seluruh negara bermula daripada 2020 sehingga akhir tahun 2022 telah pun mencapai sasaran seperti berikut:
- Menyediakan liputan 4G daripada 91.8% (tahun 2020) kepada 96.9% (tahun 2022) di kawasan berpenduduk.
- Meningkatkan purata kelajuan jalur lebar mudah alih daripada 25Mbps kepada 35Mbps;
- Menyediakan liputan gentian optik sebanyak 7.5 juta premis
Bagi pencapaian JENDELA Fasa 1 negeri Selangor sehingga suku keempat (Q4) 2022 adalah seperti berikut:
- Liputan 4G di kawasan berpenduduk adalah 99.87% melepasi sasaran nasional sebanyak 96.9%
- Purata kelajuan jalur lebar mudah alih adalah 150.37Mbps melepasi sasaran nasional sebanyak 35Mbps
Terdapat 421 buah struktur pemancar baru telah dibina manakala 29 buah struktur di dalam pelaksanaan. Sebanyak 8,372 buah stesen pemancar telah dinaiktaraf dan sebanyak 567,943 premis telah diliputi gentian optik di negeri Selangor.
Bagi memastikan liputan 4G daripada kawasan berpenduduk mencapai 100%, kelajuan jalur lebar mudah alih telah dipertingkatkan dan liputan gentian optik diperluaskan di kawasan luar bandar di Negeri Selangor. Pelaksanaan JENDELA akan dipergiatkan lagi melalui inisiatif JENDELA Fasa 2 bagi memastikan impak pelaksanaannya dapat dinikmati oleh rakyat secara berterusan.
Selain itu juga, melalui Digital Nasional Berhad (DNB),sebanyak 1,871 tapak pembangunan 5G telah diperuntukkan bagi negeri Selangor. Sehingga 22 Februari 2023 sebanyak 878 tapak telahpun beroperasi. Baki tapak tersebut masih di dalam peringkat perancangan serta perolehan tapak. Rangkaian 5G ini akan diperluaskan di kesemua daerah di Negeri Selangor dan sekaligus dapat mengurangkan jurang digital dalam masyarakat.
Pihak MCMC juga telah menyediakan perkhidmatan internet satelit (BWA) di lima (5) Kampung Orang Asli di negeri Selangor bagi memastikan golongan ini tidak dipinggirkan.
-
Jika sedar apakah langkah-langkah Kerajaan Negeri untuk meningkatkan keupayaan capaian internet di kawasan luar bandar dapat disegerakan dan berapakah peruntukan yang disediakan dalam tahun 2023?
Kerajaan Negeri Selangor melalui SMARTSEL Sdn Bhd (Anak syarikat Menteri Besar Pemerbadanan) bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta syarikat-syarikat telekomunikasi memastikan inisiatif di dalam JENDELA dapat dilaksanakan mengikut sasaran. Antara sasaran pelan JENDELA Fasa 2 (2023-2025) adalah mengatasi kesenjangan digital di luar bandar dengan sasaran 100% liputan 4G di kawasan berpenduduk, capaian internet berkelajuan 100Mbps dengan adaptasi 5G dan 9 juta premis dengan liputan gentian optik (fixed broadband).
SMARTSEL juga dalam proses pembangunan Pelan Induk Kesalinghubungan Selangor (SCMP) yang akan memastikan perkhidmatan jalur lebar di bandar dan luar bandar seimbang serta kawasan perindustrian yang dapat memacu ekonomi Negeri Selangor lebih pesat. Inisiatif di dalam SCMP juga selari dengan inisiatf-inisiatif di dalam RS-1, JENDELA, RMK-12 dan beberapa lagi pelan yang berkaitan dengan teknologi jalur lebar berkelajuan tinggi dapat dilaksanakan mengikut perancangan.