Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

108) TINDAKAN TERHADAP KONTRAKTOR KUTIPAN SAMPAH YANG MELAKUKAN KESALAHAN BERULANG

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Edry Faizal Bin Eddy Yusof

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Mengapa tidak ada tindakan penamatan kontrak diambil terhadap kontraktor KDEB yang berulang kali gagal mengutip sampah tepat pada waktunya di Zon 4 MPKJ?

    Pihak KDEBWM mengakui terdapat sedikit gangguan operasi kutipan sampah di Zon 4 MPKJ bermula pada sekitar pertengahan tahun 2022. Gangguan operasi ini berpunca dari kerosakan lori kompaktor di zon tersebut. Walaubagaimanapun, operasi di zon ini telah kembali pulih seperti sedia kala apabila lori kompaktor yang dikhususkan di zon berkenaan selesai menjalani proses baik pulih yang besar (major repair) bagi menggantikan komponen-komponen utama mekanikal yang telah rosak. Sepanjang lori kompaktor di zon ini mengalami kerosakan, pihak KDEBWM telah memasukkan lori back up bagi memastikan jadual kutipan harian tidak terjejas walaupun berlaku sedikit kelewatan.

    Untuk makluman Y.B.  Dusun Tua, proses penamatan sub-kontraktor  tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya kerana setiap kriteria di dalam klausa penamatan sepertimana yang termaktub di dalam perjanjian perkhidmatan di antara KDEBWM dan pihak sub-kontraktor perlu dipatuhi bagi mengelakkan sebarang implikasi perundangan.

    Berdasarkan rekod KDEBWM, sub-kontraktor di zon 4 telah melaksanakan perkhidmatan dengan memuaskan semenjak dilantik sebagai kontraktor kutipan sampah di zon tersebut sehinggalah pada pertengahan tahun lalu apabila lori mereka mula mengalami kerosakan berikutan  faktor usia (ageing factor)  dan penggunaan berat (heavy usage) setiap hari.

    Sub-kontraktor tersebut sememangnya berada di dalam pemerhatian KDEBWM dan telah diberikan notis peringatan supaya segera memperbaiki prestasi perkhidmatan.  Sekiranya kegagalan yang sama masih berulang dan sub-kontraktor tersebut di dapati telah menepati semua kriteria di dalam klausa penamatan, KDEBWM tidak akan berkompromi dan akan menamatkan perkhidmatan sub-kontraktor berkenaan.

Lampiran

Tiada Lampiran.