Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023
13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)
99) SLIM SELANGOR
Tahun: 2023
Sesi: 1
Isu: Kesihatan
Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah pencapaian Program Slim Selangor sejak dilancarkan pada tahun 2019?
Program Slim Selangor telah diperkenalkan pada awal tahun 2019 dalam usaha untuk menggalakkan rakyat negeri Selangor mengamalkan gaya hidup sihat dan mengurangkan masalah kegemukan dan obesiti yang menjadi punca kepada pelbagai jenis Mekanisme pelaksanaan program ini adalah dalam bentuk sesi latihan dan senaman (work out) secara bersama-sama dengan kekerapan seminggu sekali serta turut diadakan pemantauan aspek pemakanan. Dalam meningkatkan motivasi individu dalam menyertai program ini secara konsisten, sebanyak tiga (3) hadiah telah disediakan kepada para pemenang yang berjaya menurunkan berat badan tertinggi dalam masa yang telah ditetapkan. Program Slim Selangor pada tahun 2019 telah berjaya menarik penyertaan seramai 287 individu bagi kategori orang awam dan 84 individu bagi kategori penjawat awam dengan hampir 24 sesi latihan yang telah dijalankan selama 3 bulan.
Namun, pada tahun 2020 dan 2021, program Slim Selangor ini tidak dapat diteruskan pelaksanaannya disebabkan oleh penularan wabak Covid-19 yang melanda negara pada ketika itu. Program ini diteruskan pada tahun 2022 dengan beberapa penambahbaikan seperti mewujudkan barisan jurulatih yang komited serta mengadakan kelas senaman dan latihan di setiap DUN.
Seramai 3,270 permohonan telah diterima bagi menyertai program Slim Selangor pada tahun 2022. Dari jumlah tersebut, seramai 1,574 orang mengalami obesiti, 1,354 orang berlebihan berat badan dan 320 orang pemohon berstatus normal. Dari jumlah tersebut, pemohon dalam kategori obesiti dan berlebihan berat badan yang berjumlah seramai 2928 telah diminta menghadiri sesi pra ujian bagi mengesahkan kelayakan mereka menyertai Slim Selangor. Peserta yang terpilih akan menjalani latihan selama 1 jam sekali setiap minggu, selama 6 minggu yang dipimpin oleh jurulatih Slim Selangor yang terlatih dan mempunyai kepakaran serta berpengalaman luas dalam bidang latihan. Selain itu tiga (3) peserta yang berjaya mencatatkan penurunan berat badan tertinggi diberikan penghargaan pada akhir program.
Daripada data yang direkodkan dalam Slim Selangor tahun 2022, seramai 128 individu mewakili 61.8% daripada keseluruhan peserta telah berjaya menurunkan berat badan sebanyak 1 kilogram hingga 15 kilogram.
Keseluruhan aktiviti di bawah kerangka Program Slim Selangor akan diteruskan dan ditambah baik bagi mencapai objektif yang telah ditetapkan dalam usaha untuk menggalakkan orang awam mengamalkan gaya hidup dan pemakanan sihat dan seterusnya mengatasi masalah kegemukan dan obesiti.
-
Adakah terdapat pengurangan kadar obesiti di kalangan warga Selangor?
Melalui program Slim Selangor tahun 2019 dan tahun 2022, data yang direkodkan menunjukkan terdapat pengurangan kadar obesiti bagi peserta – peserta yang telah menyertai program ini. Untuk makluman Yang Berhormat, antara indikator yang digunakan bagi mengukur obesiti adalah nisbah pinggang pinggul, ukuran Body Mass Index (BMI) dan peratusan lemak.
Bagi peserta tahun 2022, seramai 207 orang telah berjaya mengurangkan berat badan secara konsisten sekali gus mengurangkan kadar obesiti di Selangor. Namun begitu, seperti kita maklum, proses untuk memastikan rakyat di negeri ini memiliki berat badan yang ideal dan terhindar daripada obesiti dan berlebihan berat badan adalah sebuah proses yang berterusan yang sangat memerlukan disiplin dan usaha kendiri individu dan tidak hanya terhad kepada sesi latihan dan senaman di dalam program sahaja.
-
Berapakah peruntukan yang digunakan untuk pelaksanaan Program Slim Selangor pada tahun 2022? Adakah terdapat usaha untuk memperkembangkan lagi program ini?
Pelaksanaan Program Slim Selangor pada tahun 2022 telah melibatkan peruntukan sebanyak RM300,000.00 bagi pelaksanaannya di 56 DUN di Selangor. Pada tahun 2023, program Slim Selangor akan diteruskan pelaksanaanya seperti yang telah dijalankan pada tahun 2022 dengan turut membuat penambahan satu lagi modul iaitu aktiviti tower running iaitu senaman menggunakan kaedah tangga. Sebagai projek rintis, program ini akan dicadang dilaksanakan di premis Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dan seterusnya akan dilaksanakan di Program Perumahan Rakyat (PPR) yang terpilih dengan anggaran 5,000 orang peserta keseluruhan yang akan menyertai aktiviti tower running ini.