Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023
13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)
92) SELANGOR SEBAGAI NEGERI RENDAH KARBON
Tahun: 2023
Sesi: 1
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Salah satu fokus Kerajaan Negeri adalah menjadikan Selangor negeri rendah karbon. Apakah tindakan drastik yang telah diambil bagi menggalakkan masyarakat dan apakah jenis KPI yang telah ditetapkan?
Pembangunan bandar adalah punca utama pelepasan gas rumah hijau (GHG) yang menyumbang masalah perubahan iklim global. Didorong dengan peningkatan penduduk,keadaan ini bertambah buruk melainkan langkah berkesan diambil untuk melaksanakan pembangunan hijau dan lestari.
Berdasarkan kepada Fokus Kelapan (8) Rancangan Malaysia Ke-12 iaitu Mempercepatkan Pertumbuhan Hijau, telah menetapkan sasaran untuk mempertingkatkan kemampanan tenaga, mentransformasikan sektor air dan mengekalkan liputan kawasan hijau dengan mengambil kira prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam proses membuat keputusan.
Justeru, sebagai langkah persediaan, Kerajaan Negeri telah menggariskan Negeri Rendah Karbon sebagai agenda utama dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) 2025. Dengan adanya RS-1, Kerajaan Negeri mempunyai fokus dan komited untuk mengambil langkah yang perlu bagi menangani fenomena ini serta mengurangkan pelepasan karbon selaras dengan matlamat UN’s Sustainable Development Goals (SDG) ke-11 iaitu Sustainable Cities and Communities.
Sejajar dengan matlamat dan komitmen tersebut, Kerajaan Negeri telah mengambil langkah-langkah berikut dalam usaha menggalakkan masyarakat mengamalkan budaya hijau:
Pertama, penggunaan Kerangka Bandar Rendah Karbon atau Low Carbon Cities Framework (LCCF) di semua PBT negeri Selangor diteruskan dan diaplikasikan dalam semua peringkat perancangan dasar dan keputusan. LCCF ini meliputi aspek pengurusan tenaga, mobiliti, pengurusan sisa, persekitaran hijau dan pengurusan air. Ianya juga memperkasakan pelaksanaan program dan inisiatif bandar rendah karbon yang dilaksanakan oleh PBT di samping meningkatkan penjanaan ekonomi setempat, mengurangkan impak kepada alam sekitar dan meningkatkan kualiti hidup rakyat. Pengukuran pencapaian dan KPI LCCF diukur berdasarkan peningkatan jumlah PBT yang menggunapakai rangka kerja dan penilaian prestasi tindakan bagi setiap perbandaran serta kadar pengurangan pelepasan karbon. Dalam memastikan pelaksanaan LCCF yang lebih sistematik, Jawatankuasa Kerja di setiap PBT diwujudkan bagi menangani isu-isu yang berkaitan alam sekitar dan rendah karbon.
Kedua, seperti mana yang digariskan dalam RS-1 di bawah Teras Kelestarian, Kerajaan Negeri akan membangunkan mekanisme pelaporan karbon dan pembangunan rangka kerja untuk pengiraan GHG bagi membolehkan perancangan karbon yang rendah yang lebih baik di peringkat tempatan. Pengukuran pencapaian dan KPI akan dinilai berdasarkan kepada jumlah pengurangan karbon di setiap perbandaran, baseline data serta penetapan indikator perbandingan dalam pelaporan.
Ketiga, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau komited dalam membantu organisasi dan institusi melalui pemberian Geran Kecil Alam Sekitar dan Teknologi Hijau untuk mengakses pembiayaan bagi projek-projek inovatif, projek berkaitan konservasi alam sekitar seperti aktiviti pemuliharaan sumber air dan tenaga, pengurusan sisa atau penanaman semula tumbuh-tumbuhan serta penghasilan tenaga melalui kaedah semulajadi. Ini bertujuan bagi memupuk dan menerapkan rasa tanggungjawab masyarakat dalam memelihara alam sekitar. Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) juga turut meneruskan inisiatif hijau dengan memberi penekanan kepada kemampanan alam sekitar, teknologi hijau, tenaga boleh baharu serta adaptasi dan mitigasi perubahan iklim.
Seterusnya, Kerajaan Negeri melalui KDEB Waset Management sememangnya mempunyai perancangan yang besar untuk memperkasakan inisiatif kitar semula (3R). KDEB Waste Management sehingga kini mempunyai dua (2) pusat kitar semula berskala besar di Jalan Korporat, Meru, Klang dan di Bukit Puchong, Subang yang mampu mengendalikan kira-kira 20 tan bahan kitar semula sehari. Kedua-dua pusat kitar semula ini menerima hampir semua jenis bahan kitar semula termasuk sisa elektronik (E-Waste).
KDEB Waste juga merancang untuk membina sekurang-kurangnya satu (1) pusat kitar semula di setiap kawasan PBT di negeri Selangor dalam tempoh tiga (3) ke lima (5) tahun akan datang.
-
Apakah usaha yang telah dilakukan bagi menggalakkan Kecekapan Tenaga dan Tenaga Boleh Diperbaharui?
Dalam menghadapi globalisasi ekonomi dan sumber yang berkurangan, pembangunan ekonomi hijau adalah satu kemestian. Kepesatan pembangunan Bandar Hijau menjadi trend yang semakin meningkat. Penumpuan kepada penggunaan tenaga boleh diperbaharui (RE) kini muncul sebagai salah satu sumber penjanaan tenaga baharu yang paling cepat berkembang. Dasar Tenaga Negara 2022 – 2040 yang telah dibangunkan memberi fokus kepada rancangan penjanaan tenaga sejajar dengan trend peralihan tenaga global. Bagi mencapai sasaran ini, pelan tindakan yang jelas dan menyeluruh telah dirangka bagi memperincikan aktiviti utama, program, sasaran, peranan dan tanggungjawab pelbagai pihak berkepentingan.
Oleh itu, dalam usaha menambahbaik dan meneroka sumber-sumber tenaga boleh diperbaharui, Kerajaan Negeri akan mengambil langkah:
- menggalakkan penggunaan aplikasi teknologi hijau seperti penggunaan panel solar dan kenderaan elektrik (EV);
- menggalakkan pembangunan ladang solar berskala besar di darat (tanah) dan di kolam/sumber air;
- mempergiatkan lagi penggunaan aplikasi teknologi hijau dengan fokus kepada pembangunan setiap sektor teknologi hijau itu sendiri iaitu tenaga, bangunan, pengangkutan dan pengurusan air serta sisa; dan
- menyediakan program-program yang komprehensif untuk dilaksanakan dalam memberikan kesedaran dan mendidik masyarakat umum, pemain industri dan golongan peniaga mengenai penggunaan tenaga yang mampan.