Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

77) MASYARAKAT MENUA

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Puan Juwairiya Binti Zulkifli

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah golongan warga emas di Negeri Selangor pada masa kini berbanding dengan jumlah penerima Skim Mesra Usia Emas?

    Terdapat seramai 482,618 orang penduduk berusia 65 tahun dan keatas. Statistik ini adalah daripada rekod Penemuan Utama Banci Penduduk Dan Perumahan Malaysia, Tahun 2020 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada bulan Mei 2022. Sehingga Mac 2023 seramai 469,617 warga emas telah berdaftar dengan program Skim Mesra Usia Emas.

  2. Apakah langkah kerajaan dalam mendepani masyarakat menua di Negeri Selangor?

    Kerajaan telah menggubal Dasar Warga Emas Negara (DWEN) pada tahun 1995 dan mengambil kira isu penuaan berasaskan kepada lima dimensi untuk diterapkan kepada masyarakat. Lima (5) dimensi tersebut adalah penuaan sihat, penuaan aktif, penuaan positif, penuaan produktif dan penuaan sokongan.

    Untuk memastikan DWEN dapat dicapai, Kerajaan Negeri telah mengambil pendekatan untuk mewujudkan Jawatankuasa Pembangunan Warga Emas Negeri dan Daerah yang dianggotai oleh agensi-agensi kerajaan, pertubuhan sukarela kebajikan, pihak akademik dan individu yang pakar dalam bidang penuaan. Kedua-dua jawatankuasa tersebut bertanggungjawab untuk merangka, merancang dan melaksanakan program-program yang berbentuk promosi, advokasi, pembelajaran sepanjang hayat, keselamatan, perlindungan, penyelidikan dan pembangunan kepada masyarakat warga emas.

    JKM Negeri Selangor turut mewujudkan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di peringkat Kawasan parlimen untuk menyantuni warga emas. Sehingga November 2022, sebanyak 18 buah PAWE telah ditubuhkan dan memberi manfaat kepada seramai 4,784 orang warga emas di Selangor.

    Bagi menangani isu masyarakat menua, kerajaan negeri mendapati terdapat keperluan bagi mewujudkan Unit Penyayang Warga Emas (UPWE) kepada warga emas di negeri Selangor. Penganjuran UPWE bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan dan kemudahan pengangkutan kepada warga emas yang tinggal berseorangan atau dengan keluarga yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan kesihatan di hospital atau klinik kesihatan.

    Selain itu, kerajaan negeri mendapati terdapat keperluan menyediakan perkhidmatan Respite Care (RC) kepada warga emas di Selangor. Respite Care adalah perkhidmatan alternatif kepada waris atau penjaga untuk menempatkan secara sementara warga emas dalam jagaannya di institusi bagi suatu tempoh tertentu, disebabkan apa-apa sebab yang memerlukan warga emas ditempatkan sementara di institusi jagaan.

    Program Khidmat Bantu di Rumah (KBDR) merupakan perkhidmatan sokongan sosial oleh sukarelawan ke rumah warga emas dan OKU yang terlantar. Perkhidmatan pemulihan, penjagaan dan pengintegrasian klien boleh dilakukan oleh sukarelawan agar warga emas dapat terus tinggal dalam komuniti tanpa perlu dimasukkan ke institusi atau pusat jagaan.

    Disamping itu, Kerajaan Negeri Selangor melalui Rancangan Selangor Pertama (RS-1) turut memfokuskan beberapa inisiatif bagi golongan sasar warga emas. Selain itu, Program Kebajikan yang dianjurkan di bawah Jawatankuasa Kebajikan seperti Geran Sukarelawan Warga Emas (GESEMAS) dan Program Pusat Kebajikan Lestari menyediakan peruntukan kepada rumah warga emas untuk bantuan pembelian fasiliti dan kemudahan.

Lampiran

Tiada Lampiran.