Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

61) IKS

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Usahawan

Adun: Y.B. Tuan Halimey Bin Abu Bakar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah ada persetujuan (MOU) antara Kerajaan Negeri dengan pasaraya-pasaraya besar di Negeri Selangor bagi memasarkan produk-produk IKS kepada pasaraya tersebut?

    Untuk makluman, Kerajaan Negeri Selangor menerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian Perdagangan dan Industri Kecil & Sederhana Negeri Selangor dan agensi pelaksana Invest Selangor telah membuat satu bentuk kerjasama dengan berberapa pasaraya-pasaraya besar menerusi program Program Pembeli Pasaraya SIE (F&B) (atau SIE (F&B) Supermarket Buyers Program) didalam Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS).

    Program ini adalah satu inisiatif Invest Selangor untuk memperkenal dan menyenaraikan usahawan-usahawan terpilih yang menyertai pameran Selangor International Expo (F&B) ke dalam rantaian pembekal pasaraya-pasaraya yang terlibat. Usahawan berkenaan akan diberikan insentif bayaran fi pendaftaran pembekal, fi penyenaraian produk serta ruang promosi di kawasan pasaraya berkenaan.

    Program Pembeli Pasaraya ini telah bermula pada tahun 2021, dimana dua pasaraya terkenal iaitu Lulu Hypermarket Malaysia dan ST Rosyam Mart telah menyertainya.  Sebanyak 24 syarikat IKS telah dipilih oleh pasukan pembeli dari dua pasaraya ini yang hadir di pameran Selangor International Expo (F&B) 2021.  Sebanyak 118 produk telah berjaya disenarai dan dibekalkan kepada pasaraya-pasaraya tersebut.

    Program Pembeli Pasaraya ini telah diteruskan semasa penganjuran Selangor International Expo (F&B) 2022 tahun lepas, dan sebanyak 8 pasaraya dari dalam dan luar negeri Selangor telah menyertai program ini iaitu ST Rosyam Mart, Lulu Hypermarket, AEON Co., Hero Hypermarket, Jaya Grocer, QRA, Lotus Hypermarket dan Orange Covenient Store (Sabah). Pemilihan syarikat pempamer dan produk-produk masih dijalankan dan dijangka sebanyak 225 produk akan diberi peluang untuk disenarai dan sejumlah 45 syarikat IKS menjadi pembekal kepada pasaraya-pasaraya tersebut.

    Program ini akan diteruskan pada tahun 2023 dan Invest Selangor mensasarkan sejumlah 12 pasaraya termasuk pasaraya dari luar negara, seperti Lulu Hypermarket Indonesia, akan menyertai program ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.