Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

60) PASUKAN SUKARELAWAN DI SELANGOR

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah pasukan-pasukan sukarelawan yang ditubuhkan oleh Kerajaan Selangor dan apakah fungsi dan ciri-ciri mereka masing-masing?

    Kerajaan Negeri Selangor telah menubuhkan satu pasukan sukarelawan iaitu Sukarelawan Selangor atau lebih dikenali sebagai “Selangor Volunteer (SERVE)”. SERVE merupakan pasukan yang ditubuhkan dibawah Penggerak Belia Selangor (PeBS) melalui Domain Nasionalisme dan Patriotisme. Tujuan utama SERVE diwujudkan adalah bagi menggalakkan penglibatan masyarakat terutamanya golongan belia di Negeri Selangor dalam aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawanan.

    SERVE telah berjaya melaksanakan dan membantu masyarakat yang terkesan akibat bencana sama ada di Negeri Selangor atau luar. Antara bantuan yang telah disalurkan adalah pembersihan rumah mangsa banjir, bantuan makanan, bantuan pakaian dan bantuan barang-barang keperluan asas. SERVE juga telah diamanahkan untuk menjadi Pusat Koordinasi Sukarelawan Negeri Selangor bagi menyelaras pergerakan sukarelawan ke kawasan bencana dengan kerjasama Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor, dan agensi lain. SERVE telah berjaya mengumpulkan hampir 10,000 data sukarelawan yang berdaftar.

    Melihat kepada keperluan semasa, Kerajaan Negeri telah mewujudkan cabang kepada SERVE iaitu SERVE RESCUE dan SERVE RIDER. SERVE RESCUE adalah pasukan elit yang berperanan membantu agensi-agensi penyelamat terutama pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) dan bertindak sebagai “first responder” ketika berlaku bencana. Pasukan ini telah dilatih oleh JPBM dan berkemampuan menjadi sebahagian daripada pasukan penyelamat. Sehingga kini, seramai 40 orang ahli kumpulan pertama SERVE telah berjaya mengikuti kursus dan lulus sebagai SERVE RESCUE.

    SERVE RIDER pula adalah terdiri daripada penerima Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) yang akan menyertai secara sukarela membantu menghantar makanan dan barang keperluan lain kepada mangsa-mangsa bencana. SERVE RIDER akan bertindak melalui Pusat Koordinasi Sukarelawan Selangor. Seramai 6000 ahli SERVE RIDER telah berdaftar dengan Majlis Sukan Negeri Selangor terdiri daripada penunggang p-hailing di seluruh Negeri Selangor.

  2. Apakah rancangan jangka masa panjang terhadap semua pasukan-pasukan ini? Adakah Kerajaan Selangor akan bekerjasama dengan anggota-anggota beruniform supaya dapat memanjangkan kerjaya sukarelawan-sukarelawan ini kepada mereka?

    Rancangan jangka masa panjang bagi SERVE adalah dengan menyediakan peluang, kursus dan latihan seperti berikut:-

    • Kursus Pengurusan Bencana
    • Kursus Pengendalian Semasa Bencana
    • Latihan Fizikal “First Responder
    • Latihan Pengendalian Jentera Penyelamat
    • Kursus Penyelamatan di Air, Hutan dan Bangunan

    Hasil daripada latihan dan kursus ini, para sukarelawan akan dibekalkan dengan ilmu dan pengalaman bagi menguruskan bencana yang berlaku pada masa akan datang. Selain daripada itu, Kerajaan Negeri berhasrat bekerjasama dengan agensi-agensi terbabit seperti bomba bagi menyediakan peluang kepada sukarelawan sama ada diserap sebagai anggota sukarela atau berkhidmat secara sepenuh masa.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.