Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023
13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)
53) INDUSTRI AGRO-TOURISM DAN PELANCONGAN HOMESTAY
Tahun: 2023
Sesi: 1
Isu: Pelancongan
Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah langkah-langkah Kerajaan Negeri untuk menggalakkan pembangunan industri ‘Agro-Tourism' dan ‘Homestay' dalam kampung-kampung di luar bandar bagi meningkatkan pendapatan dan sumber ekonomi kampung-kampung tersebut?
Untuk makluman pihak Yang Berhormat,
Agro Tourism dan Homestay amat sinonim dengan pembangunan pelancongan khsususnya di luar bandar. Terma Agro Tourism merujuk kepada aktiviti melancong ke kawasan pertanian atau penternakan yang memberi peluang kepada pelancong untuk turut serta dalam aktiviti yang dilakukan pengusaha. Manakala, ‘Homestay’ adalah merujuk kepada satu program dimana ianya ialah rumah orang awam yang menyediakan ruang atau bilik untuk disewakan kepada pelancong yang akan digabungkan sekurang-kurangnya 10 buah rumah dan mempunyai aktiviti yang boleh dijalankan.
Di Malaysia, bagi membangunkan sesebuah kawasan sebagai homestay, perlu mengikut program pembangunan homestay dibawah Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya MOTAC, serta mendaftar dengan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) cawangan Selangor. Setakat ini sebanyak 16 homestay yang telah mengikuti program dan berdaftar secara sah dengan MOTAC yang dikawal dan diselia oleh MOTAC cawangan Selangor.
Bagi menggalakkan industri ini, Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi yang berkaitan dalam sektor pertanian, membantu pengusaha-pengusaha yang berminat untuk menyediakan kemudahan dan tarikan pelancongan berkonsepkan agro dan ‘house stay’.
Kawasan-kawasan pertanian yang berpotensi untuk dijadikan tarikan pelancongan perlu merujuk kepada pihak Berkuasa Tempatan untuk menyediakan kemudahan pelancongan di tempat mereka. Manakala, rumah-rumah persedirian, atau tradisi ‘house stay’ ini boleh mendaftar dalam Program Inap Dusun yang dilaksanakan oleh beberapa pihak Berkuasa Tempatan seperti Majlis Perbandaran Hulu Selangor, dimana program ini dapat memberikan panduan kepada pemilik-pemilik rumah tersebut, dari segi proses permohonan lesen dan syarat-syarat lain untuk beroperasi serta dibangunkan sebagai tempat penginapan pelancongan. Selain itu, pemilik-pemilik rumah tradisi ini juga perlu memastikan status pemilikan tanah yang dimiliki oleh mereka, sebelum memulakan perniagaan yang berkonsepkan ‘house stay’.
Pelancongan agro dan pelancongan berasaskan komuniti merupakan antara fokus utama negeri Selangor bagi memperkasakan industri pelancongan untuk tahun 2023. Melalui amanat Yang Amat Berhormat Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari ketika pembentangan belanjawan negeri Selangor bagi tahun 2023, kerajaan Negeri Selangor akan menyalurkan sebanyak RM500,000.00 bagi pembangunan pelancongan agro di bawah Pelan Transformasi Agro Selangor atau PeTA yang menjadi teras kepada sektor pertanian negeri Selangor.
Tarikan pelancongan yang berkonsepkan ‘Community Based Tourism’ ini telah banyak dibangunkan di Negeri Selangor seperti, Sungai Panjang Agro Tourism, Persatuan Kemajuan Pelancongan Sekinchan, Persatuan Kebajikan Rakyat Mukim Dengkil, Homestay Sungai Sireh di Kuala Selangor, Homestay Hj. Dorani di Sabak Bernam dan Homestay Banghuris di Sepang.
Bagi memasarkan produk-produk pelancongan ini, Kerajaan Negeri juga melalui Tourism Selangor telah melatih dan melahirkan seramai 51 orang Hos Komuniti Setempat Selangor di mana akan menjalankan peranan seperti berikut:-
- Memberi perkhidmatan kepada pelawat dan pelancong untuk merasai sendiri pengalaman unik yang berasaskan kepada warisan, budaya, gaya hidup dan tradisi komuniti setempat di daerah-daerah dalam negeri Selangor.
- Membangunkan produk pelancongan baru (Experiential Tourism) yang memberi impak sosial kepada komuniti luar bandar dan daerah-daerah
- Bekerjasama dengan agensi luar seperti Tourism Selangor, Agensi Pelancongan dan ‘Online Tour Booking Engine’ bagi menghasilkan pakej lawatan pengalaman pelancongan dan dipasarkan ke dalam dan luar negara
- Sentiasa menambah baik pakej pengalaman dan aktiviti lawatan mengikut situasi semasa dan mengetengahkan produk pelancongan yang berpotensi untuk dipromosikan yang ada dikawasan mereka
- Bekerjasama dengan pihak MOTAC untuk memastikan lesen pemandu pelancong dalam keadaan aktif dan diperbaharui.