Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023
13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)
41) RANCANGAN SELANGOR PERTAMA (RS-1)
Tahun: 2023
Sesi: 1
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Dato' Mohd Imran Bin Tamrin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah perkembangan pelaksanaan RS-1 setakat Q1 2023?
Tuan Speaker,
Izinkan saya untuk menjawab soalan (a) oleh Y.B. Sungai Panjang dan No.68 oleh Y.B. Sijangkang memandangkan jawapannya adalah sama iaitu berkaitan perkembangan pelaksanaan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) setakat Q1 2023.
RS-1 merupakan rancangan pembangunan komprehensif yang menjadi hala tuju strategik bagi Negeri Selangor sebagai Negeri Pintar, Berdaya Huni dan Makmur untuk tempoh lima (5) tahun, mulai 2021 sehingga 2025. Terdapat 262 Program, Projek dan Inisiatif (PPI) dalam RS-1 yang tertumpu kepada empat Teras Strategik utama terdiri daripada Pengukuhan Ekonomi, Peningkatan Kesejahteraan Dan Keterangkuman Sosial, Pemacuan Kelestarian, dan Tadbir Urus S.M.A.R.T. Dan Berkesan.
Status pelaksanaan RS-1 ini telah dibentangkan dalam Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor pada 19 Oktober 2022 yang lalu.
Sehingga Februari 2023, status pelaksanaan 262 PPI ini adalah seperti berikut:
- 24% PPI atau 64 projek/inisiatif sedang dalam peringkat perancangan;
- 70% PPI atau 180 projek/inisiatif dalam peringkat pelaksanaan; dan
- 6% PPI atau 18 projek/inisiatif telah siap dilaksanakan.
Bagi melancarkan pelaksanaan inisiatif RS-1, satu jawatankuasa pemantauan telah ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Pemantauan dan Penyelarasan (CORE) Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang dipengerusikan oleh YB Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. Mesyuarat CORE bagi tahun 2023 telah dilaksanakan pada 1 Mac 2023 yang lalu.
Kerajaan Negeri Selangor juga akan melaksanakan Kajian Separuh Penggal RS-1 (2021-2025) bagi mengenalpasti jurang dan penambahbaikan kepada dasar dan inisiatif sedia ada bagi memastikan sasaran RS-1 tercapai.
-
Adakah peruntukan untuk pelaksanaan RS-1 mencukupi seperti yang telah dirancang?
Anggaran nilai keseluruhan Program, Projek dan Inisiatif (PPI) yang dilaksanakan di Selangor sepanjang tempoh pelaksanaan RS-1 ini adalah berjumlah RM7.16 bilion iaitu peruntukan daripada Kerajaan Negeri yang bertindak sebagai modal pemula dan pemangkin kepada pelaksanaan 262 inisiatif di bawah RS-1.
Walaubagaimanapun, tidak semua peruntukan PPI adalah dibawah tanggungan Kerajaan Negeri kerana terdapat PPI dibawah inisiatif Kerajaan Persekutuan, Menteri Besar (Pemerbadanan), Badan Berkanun, Anak Syarikat Kerajaan Negeri dan pihak swasta.