Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023
13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)
36) BANTUAN PEMAKANAN SIHAT UNTUK ANAK-ANAK
Tahun: 2023
Sesi: 1
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah bentuk bantuan yang diberikan kepada kanak-kanak?
Golongan kanak-kanak merupakan aset penting dan pewaris masa depan negara. Justeru, pertumbuhan dan perkembangan fizikal dan mental golongan ini merupakan perkara yang perlu diberi keutamaan oleh pihak Kerajaan. Menyedari hakikat ini, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam telah melaksanakan inisiatif bantuan nutrisi makanan kanak-kanak yang dikenali sebagai Anak Selangor Anak Sihat (ASAS) bermula pada tahun 2021.
Pada tahun 2021 melalui ASAS, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah memberikan pek nutrisi ASAS yang mengandungi susu formula khas dan multivitamin kepada kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah yang mengalami masalah kekurangan zat makanan di kalangan golongan miskin bandar di lapan (8) DUN yang terpilih.
Golongan kanak-kanak yang menerima pek nutrisi ini iaitu seramai 500 orang penerima telah dipantau selama enam (6) bulan dan diambil ukuran tinggi dan berat secara bulanan untuk melihat perkembangan tumbesaran mereka. Data daripada laporan menunjukkan perkembangan yang positif dimana golongan kanak-kanak ini telah mengalami peningkatan dari segi ketinggian dan berat sepanjang mengikuti program ini.
Program ASAS bagi tahun 2021 adalah program rintis dan pada tahun 2022, program ini telah dibuat penambahbaikan dari segi pek nutrisi yang diberikan dan juga bilangan penerima. Bilangan penerima dinaikkan kepada 720 orang dan dibahagikan kepada dua (2) kohort dimana setiap kohort akan mengikuti program ini selama lima (5) bulan yang menjadikan jumlah keseluruhan program ini berjalan adalah selama sepuluh (10) bulan.
Kanak-kanak yang terpilih dalam program ASAS tahun 2022 ini telah menerima pek nutrisi yang mengandungi bahan seperti berikut:
- Susu formula (1.8 kg x 3 pek);
- Makanan berkhasiat berasaskan bijirin (4 kotak);
- Multivitamin (30 biji);
- 2 biskut wholemeal (2 pek); dan
- 3 kotak snek berasaskan buahan dan yogurt setiap bulan
Manakala, pelaksanaan program ASAS bagi tahun 2023 akan melibatkan pemberian pek permulaan ASAS bagi 50 penerima bagi setiap DUN dengan jumlah keseluruhan 2,800 penerima manfaat dan juga penganjuran Karnival ASAS di sembilan (9) daerah yang akan melibatkan 56 DUN.
Melalui program Karnival ASAS ini, penerima manfaat termasuk ibu bapa dan penjaga akan diberikan pendedahan kepada penyediaan makanan bernutrisi pada harga yang berpatutan oleh tukang masak yang diiktiraf.
Selain itu, 56 ‘hub ASAS’ atau Pusat ASAS akan ditubuhkan di 56 Dun untuk digunakan sebagai tempat untuk aktiviti pemantauan dan juga untuk memastikan kelestarian program ASAS ini dalam jangka masa panjang. Dari segi pemantauan, pihak Sukarelawan Kesihatan Komuniti (SUKA) akan dilibatkan untuk mengambil data berkaitan tinggi dan berat penerima manfaat disamping juga turut memantau berkenaan penyediaan makanan dan lain-lain. Pihak SUKA akan dilatih dan dibekalkan dengan modul khas berkaitan program ASAS ini.
Kanak-kanak yang terlibat juga diberikan akses kepada pakar nutrisi dan pakar perubatan, bagi mengambil analisa tentang keadaan semasa penerima dari segi berat, tinggi, cara pemakanan dan maklumat lain . Selain itu, ibu bapa atau penjaga terlibat juga akan diberikan akses kepada pakar nutrisi secara atas talian bagi sebarang pertanyaan berkaitan pola pemakanan kanak-kanak terlibat.
-
Bagaimanakah kaedah pemantauan kesihatan anak-anak dibuat setelah mengikut program bantuan ini?
YB Lembah Jaya juga bertanyakan tentang aspek pemantauan bagi kanak-kanak yang mengikuti program ASAS ini. Untuk makluman Yang Berhormat, selaras dengan era pendigitalan dan menuju ke arah Smart Selangor, Kerajaan Negeri dalam perancangan pengintegrasian kaedah pemantauan tahap perkembangan kanak – kanak dari aspek ukuran berat, tinggi, sejarah pemakanan dan cara pemakanan melalui aplikasi SELANGKAH. Data-data ini boleh di akses oleh penerima manfaat program bagi tujuan pemantauan kendiri. Data juga akan dianalisa secara menyeluruh untuk memantau keberkesanan program dan juga memberi maklumat terperinci tentang perubahan antopometrik penerima.
-
Berapakah peruntukan dan penerima yang terlibat?
Meneruskan agenda Iltizam Selangor Sihat, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM500,000.00 (Ringgit Malaysia Lima Ratus Ribu Sahaja) bagi pelaksanaan Program ASAS Tahun 2023 dengan anggaran jumlah penerima manfaat adalah seramai 2,800 kanak-kanak di seluruh negeri Selangor.