Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023
13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)
33) PROGRAM SUKA
Tahun: 2023
Sesi: 1
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Shatiri Bin Mansor
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Bagaimanakah prestasi sukarelawan kesihatan dalam komuniti?
YB Kota Damansara bertanyakan tentang prestasi Sukarelawan Kesihatan Komuniti (SUKA) dalam komuniti. Kerajaan Negeri telah menubuhkan Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) pada tahun 2021 sebagai penggerak khusus berkaitan kesihatan dalam komuniti di Selangor. SUKA telah ditubuhkan di semua 56 DUN di negeri Selangor dengan objektif untuk mewujudkan sebuah komuniti yang sihat sejahtera dalam aspek fizikal dan mental melalui aktiviti dan program setempat yang dapat meningkatkan kesihatan dan kesedaran orang awam. SUKA juga berperanan untuk membantu mengurangkan insidens dan prevalens penyakit berjangkit dan tidak berjangkit, mempromosikan dan menggalakkan budaya gaya hidup sihat melalui pelbagai platform dan program kepada masyarakat setempat dan juga menjadi penghubung dan pemudahcara bagi menyampaikan informasi berkenaan program dan insentif Kerajaan Negeri berkaitan aspek kesihatan kepada masyarakat setempat.
Sehingga 28 Februari 2023, terdapat 56 orang Koordinator bagi setiap DUN yang telah dilantik dan dianggarkan terdapat seramai lebih kurang 700 orang anggota SUKA di seluruh negeri Selangor.
Sejak ditubuhkan, SUKA telah memainkan peranan penting terutama ketika negeri Selangor berhadapan dengan pandemik COVID-19 dan SUKA telah terlibat secara langsung dalam pencegahan dan rawatan untuk COVID-19. Selain itu, SUKA juga terlibat dalam membantu Kerajaan Negeri semasa menjayakan program-program utama kesihatan seperti Selangor Saring, Anak Selangor Anak Sihat (ASAS), Program Slim Selangor, Program Pencegahan dan Pengawalan Denggi Selangor termasuk Operasi Bersepadu Denggi Negeri Selangor dan Program Selangor Mental Sihat (SEHAT).
Selain itu diperingkat komuniti setempat iaitu di DUN-DUN, pihak SUKA juga telah menjalankan pelbagai program dan kempen berkaitan kesihatan. Data daripada laporan tahun 2022 bagi 56 SUKA Dun-Dun menunjukkan sebanyak 268 program dan aktiviti telah dijalankan oleh SUKA di dun masing-masing yang merangkumi pelbagai program berkaitan kesihatan seperti ziarah medik, program Jom Senam, Pemeriksaan Kesihatan, Fitness Day, kempen derma darah, bengkel bimbingan bantuan kecemasan dan bantuan perubatan kepada individu yang memerlukan.
-
Apakah persiapan atau program yang mereka telah atau akan lalui untuk persiapan sebagai aktivis kesihatan awam?
Kerajaan Negeri mengambil maklum dan sedar akan kepentingan untuk menyediakan latihan yang bersepadu kepada semua anggota SUKA agar setiap daripada mereka mempunyai ilmu dan kemahiran yang berkaitan kesihatan awam yang diperlukan sebagai sukarelawan kesihatan awam dan untuk dimanfaatkan kepada komuniti setempat.
Justeru, sejak penubuhan SUKA pada tahun 2021, Kerajaan Negeri telah menyediakan beberapa siri latihan berterusan kepada anggota SUKA, antaranya adalah seperti berikut :
- 30 sesi latihan dan kursus berkaitan Covid-19 (2021);
- 10 siri Bengkel Bimbingan Bantuan Kecemasan (CPR) (2022);
- 2 siri Bengkel Pendidikan Kesihatan Seksual dan Reproduktif (2022); dan
- Bengkel Program Anak Selangor Anak Sihat (ASAS) dan Selangor Mental Sihat (SEHAT)
- Townhall Sukarelawan Kesihatan Negeri Selangor (2023)
Bagi tahun 2023, antara siri latihan yang dirancang untuk anggota SUKA adalah latihan bermodul yang melibatkan 30 siri video penerangan berkaitan topik-topik utama kesihatan awam yang mesti diikuti oleh anggota SUKA melalui aplikasi SELANGKAH. Antara modul latihan ini adalah berkaitan topik-topik seperti Apa Itu Kesihatan Awam, Peranan Sukarelawan Kesihatan, Hipertensi, Penyakit Berjangkit, Denggi, Kanser, Penuaan Secara Sihat dan lain-lain. Selain itu, anggota SUKA juga akan turut dinilai dan diuji kefahaman mereka dalam mengikuti modul-modul ini yang akan turut dilaksanakan secara atas talian melalui aplikasi SELANGKAH.
-
Apakah rancangan (jika ada) sebarang bentuk faedah atau insentif sebagai aktivis kesihatan awam ?
Buat masa ini, tiada elaun tetap diberikan kepada anggota SUKA. Walau bagaimanapun, segala perbelanjaan berkaitan pengangkutan, makan minum dan elaun aktiviti akan dibayar kepada anggota SUKA yang terlibat. Selain itu, anggota SUKA juga turut menerima manfaat Iltizam Selangor Sihat (ISS) sebagai salah satu bentuk insentif kepada mereka. Kerajaan Negeri akan melihat keperluan bagi pemberian elaun tetap kepada anggota SUKA tertakluk kepada keadaan kewangan semasa Kerajaan Negeri.