Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

31) EKONOMI IKS DAN PENJAJA

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Zakaria Bin Hanafi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan Kerajaan Negeri dan PBT dalam menyelaras para penjaja tepi jalan yang makin bertambah?

    Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan berperanan memperkasa keusahawanan mikro di Selangor agar menjadi salah satu penyumbang utama kepada ekonomi negeri. Susur galur usahawan adalah bermula daripada peniaga dan penjaja kecil yang kemudiannya berkembang menjadi usahawan yang berdaya maju.  Oleh itu,  akibat daripada pandemik COVID19 ramai penjaja dan peniaga yang baru tumbuh akibat peralihan sudut ekonomi.  Oleh itu beberapa inisiatif dijalankan oleh Kerajaan Negeri bersama PBT bagi memupuk suasana perniagaan yang lebih sihat dan tersusun.  Antara program yang dijalankan adalah seperti berikut:

    1. Pelantikan Pegawai Perhubungan Usahawan di 12 PBT Selangor

    Kerajaan Negeri di bawah EXCO Pembangunan Usahawan telah melantik 12 pegawai di peringkat PBT untuk menggalas tugas dan memantau program-program keusahawan di peringkat PBT.  Selain itu pegawai PPU ditugaskan untuk menyokong sebarang aktiviti kerjasama bersama pihak ketiga yang boleh meningkatkan prestasi penjaja

    2. Pendigitalan Penjaja melalui Platform Selangor (PLATS)

    Inisiatif Platform Selangor (PLATS) merupakan sebuah inisiatif Kerajaan Negeri Selangor yang menawarkan platform promosi dan direktori digital secara percuma di bawah gagasan YAB. Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari kepada usahawan mikro khususnya para penjaja yang berada di negeri Selangor.  Dalam usaha untuk membantu mendigitalisasikan golongan sasaran dan seiring dengan hasrat kerajaan untuk mencapai Negeri Pintar 2025 (“Smart State 2025”), kerjasama yang erat di antara pasukan PLATS dan Pihak Berkuasa Tempatan terus dijalankan bagi memastikan kelancaran pengoperasian inisiatif Platform Selangor berjalan dengan jayanya.

    3. Latihan Pembangunan Penjaja

    Program Latihan Pembangunan Penjaja Mikro Selangor anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam dengan kerjasama Platform Selangor (PLATS) Tahun 2023.

    4. Mengadakan inisiatif Lesen Gerai dan Permit Penjaja Sementara

    Memberikan peluang kepada penjaja sedia ada yang tidak mempunyai lesen dengan memberikan lesen sementara dan menyediakan kemudahan yang lebih baik.

    5. Program perlesenan peniaga online di rumah

    Bagi menyokong peniaga yang menjalankan perniagaan atas talian, PBT telah mengadakan kempen pemberian lesen peniaga yang berniaga secara atas talian.  Ia juga bagi memantau aktiviti perniagaan di peringkat akar umbi agar segala permasalahan dan penambahbaikan dapat dijalankan bagi meningkatkan pembangunan perusahaan mikro.

  2. Nyatakan inisiatif Kerajaan Negeri yang boleh dimohon oleh penjaja tepi jalan dan IKS.

    Kerajaan Negeri menyediakan pelbagai bentuk bantuan perniagaan untuk menyokong pembangunan usahawan mikro di negeri ini. Berikut merupakan bantuan geran dan pinjaman mikrokredit yang ditawarkan kepada usahawan yang menjalankan perniagaan :

    i. Geran Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS)

    Bantuan ini diberikan kepada usahawan mikro melalui sembilan (9) daerah di Negeri Selangor. Dana ini merupakan program khas untuk membantu usahawan mikro di Negeri Selangor bagi meningkatkan hasil jualan dan sekaligus melahirkan usahawan-usahawan yang berdaya tahan, berdaya saing dan berdaya maju. Setiap tahun sekurang-kurangnya 100 usahawan menikmati manfaat daripada bantuan ini.

    Setiap daerah diperuntukan sebanyak RM250,000.00 untuk program bantuan DUMS. Setiap pemohon yang menepati syarat dan kelayakan yang ditetapkan berpeluang untuk dipertimbangkan untuk menerima bantuan sehingga RM30,000.00. Syarat-syarat kelayakan adalah seperti berikut:

    • Rakyat Negeri Selangor ataupun yang telah bermastautin lebih daripada 10 tahun;
    • Perusahaan dijalankan di Negeri Selangor;
    • Berumur antara 18 – 55 tahun;
    • Nilai jualan kurang daripada RM300,000.00 atau bilangan pekerja 2-5 orang;
    • Perusahaan telah dan masih beroperasi sekurang-kurangnya 2 tahun;
    • Perusahaan dijalankan sepenuh masa; dan
    • Perusahaan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

    ii. Klinik Usahawan Selangor

    Penubuhan Klinik Usahawan Selangor adalah bertujuan untuk memberi bantuan dan khidmat nasihat perniagaan dari aspek urus tadbir, pemasaran, pengurusan kewangan dan peluang pembiayaan. Ia juga bertujuan untuk membimbing secara menyeluruh dalam perniagaan dan menyelesaikan masalah, ketidakupayaan dan kekangan yang membantutkan pengembangan perniagaan. UPEN Selangor bekerjasama dengan BPU, PKNS memandangkan agensi tersebut berfungsi sebagai organisasi yang terlibat dengan pembangunan usahawan.

    iii. Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan

    Matlamat utama program ini adalah untuk meningkatkan taraf ekonomi bagi individu yang berpendapatan di bawah RM1,500.00 sebulan atau pendapatan seisi rumah di bawah RM3,000.00. Pemberian berbentuk bantuan peralatan / mesin perniagaan berdasarkan perusahaan yang sedang dijalankan. Syarat permohonan telah dilonggarkan kepada tiga (3) bulan pengoperasian pada musim pandemik COVID19 bagi membantu rakyat menjalankan perniagaan.

    Bantuan ini merupakan sebahagian daripada 33 Program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) Kerajaan Negeri Selangor untuk mengupayakan masyarakat agar keluar daripada kitaran kemiskinan. Program ini dilaksanakan melalui Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi.

    iv. Latihan Keusahawanan

    Latihan keusahawanan masih diteruskan pada musim pandemik COVID19. Walau bagaimanapun program dijalankan secara dalam talian. Program ini dikendalikan oleh Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan, Unit Perancang Ekonomi Negeri dengan kerjasama agensi-agensi lain seperti INSKEN, MARA, HIJRAH SELANGOR dan Bahagian Pembangunan Usahawan, PKNS.

    v. Program Pembinaan Upaya Usahawan India Selangor (SITHAM)

    Program ini bertujuan untuk membantu usahawan India yang berpotensi berkembang maju di dalam bidang perniagaan. Di samping itu, ianya dapat membantu usahawan India menjadi lebih berdikari dan mampu untuk menjana ekonomi. Program yang ditawarkan adalah latihan pengurusan merangkumi aspek pengurusan pemasaran dan kewangan, latihan kemahiran dan pembangunan, program inkubator bersama syarikat peneraju dan geran perniagaan.

    Antara modul yang telah dirangka ialah latihan kemahiran bersama syarikat peneraju/mentor terpilih selama tiga (3) hingga enam (6) bulan bergantung kepada industri yang terpilih. Sepanjang tempoh latihan tersebut, peserta akan diberi peluang untuk terus mengendalikan perniagaan mengikut jenis latihan yang diceburi dan dipantau oleh syarikat peneraju. Program ini dikendalikan oleh Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan, Unit Perancang Ekonomi Negeri dengan kerjasama HIJRAH SELANGOR.

    vi. Pinjaman Mikrokredit Hijrah Selangor

    HIJRAH Selangor menyediakan pinjaman kewangan secara berperingkat bermula tahun 2020. Ia merupakan satu sistem pembiayaan modal yang mudah, cepat dan tidak membebankan kepada penjaja dan peniaga kecil yang menghadapi masalah kekurangan modal, dan peluang mendapatkan modal tambahan. Pinjaman berperingkat ini dikategorikan mengikut skim 1 – 4 dan jumlah kelulusan diberikan sehingga RM50,000.00 mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan. Selain itu terdapat beberapa program lain di bawah agensi ini seperti berikut:

    a. Skim Zero to Hero

    Program ini merupakan pakej latihan dan bimbingan perniagaan oleh syarikat peneraju selama tiga (3) hingga enam (6) bulan. Ia menawarkan pakej dalam bidang perniagaan, pembuatan, pertanian, perikanan, peruncitan dan jualan atas talian.

    b. NADI (Skim Niaga Darul Ehsan)

    Bantuan ini berbentuk pinjaman modal dari RM1,000.00 – RM5,000.00 khusus untuk wanita yang ingin memulakan perniagaan dalam kumpulan seramai 3 orang. Pembiayaan ditawarkan selama (3) hingga enam (6) bulan.

    c. GO Digital (Skim Pembiayaan Digitalisasi)

    Skim ini ditawarkan kepada usahawan yang ingin menyertai platform digitalisasi perniagaan. Pinjaman di tawarkan sehingga RM5,000.00 dengan tempoh pembiayaan enam (6) bulan – tiga (3) tahun.

Lampiran

Tiada Lampiran.