Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

20) PENAMBAHAN KELENGKAPAN PEMBELAJARAN DI SEKOLAH-SEKOLAH

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Tuan Adhif Syan Bin Abdullah

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan bagi membantu sekolah-sekolah yang memerlukan tambahan peralatan bilik darjah seperti kerusi, meja dan sebagainya khususnya di SK/SMK Cyberjaya, SK Pulau Meranti, SK Olak Lempit, SMK Putra Perdana, SK/SMK Dengkil dan SK/SMK Bukit Changgang?

    Berdasarkan semakan dan penelitian oleh Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPN Selangor) mendapati bahawa permohonan penambahan peralatan dan kelengkapan bilik darjah bagi tujuan pembelajaran di sekolah-sekolah berkenaan telahpun selesai dilaksanakan, terutamanya bagi tujuan menangani isu kerosakan peralatan dan kelengkapan yang berlaku pasca bencana banjir tahun 2021 yang lalu, iaitu melibatkan sekolah-sekolah yang terkesan dengan bencana berkenaan seperti berikut:-

    1. SK Olak Lempit; dan
    2. SMK Bukit Changgang.

    Antara peralatan dan kelengkapan yang dibekalkan adalah kerusi dan meja murid, kerusi dan meja guru, peralatan kerusi meja kantin sekolah, papan putih (white board), papan notis/ carta, peralatan bangku dan meja makmal sains, rak penyimpanan radas, kerusi dan meja makmal komputer, rak/ kabinet fail, kerusi bankuet dan lain-lain peralatan yang berkaitan.

    JPN Selangor sentiasa menyemak dan meneliti keperluan peralatan dan kelengkapan bilik darjah bagi tujuan pembelajaran di sekolah-sekolah dari semasa ke semasa, di mana keutamaan akan diberikan kepada sekolah-sekolah yang mempunyai keperluan yang kritikal. Oleh yang demikian, bagi lain-lain sekolah yang masih belum menerima penambahan peralatan dan kelengkapan yang diperlukan, keperluan berkenaan akan diteliti oleh pihak JPN Selangor untuk dipanjangkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi tujuan penyediaan peruntukan.

Lampiran

Tiada Lampiran.