Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

18) PELUANG PEKERJAAN DI KAWASAN LUAR BANDAR

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Pekerjaan

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha dan langkah-langkah Kerajaan Negeri untuk menambah peluang pekerjaan kepada golongan belia yang menganggur terutamanya lepasan sekolah yang terdapat di luar bandar?

    Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk membantu menambah peluang pekerjaan kepada golongan belia yang menganggur terutamanya lepasan sekolah yang terdapat di luar bandar. Antara usaha dan program yang dilaksanakan oleh pihak Kerajaan Negeri adalah seperti berikut:

    1. Program Selangor Mega Job Fair

    Penganjuran program secara mega ini merupakan satu usaha proaktif bagi membuka lebih banyak ruang dan peluang dalam membantu golongan belia yang menganggur untuk mendapatkan pekerjaan. Antara pengisian utama sepanjang tempoh program berlangsung adalah temu duga terbuka (walk- in interview) oleh pihak majikan dan industri dan perkongsian ilmu kerjaya.

    Pada tahun 2022, sebanyak 39,278 peluang pekerjaan yang merangkumi pelbagai sektor antaranya automotif, teknologi maklumat, perhotelan, sukan, pemasaran dan jualan, makanan dan minuman (F&B), peruncitan, pentadbiran dan perkhidmatan serta lain-lain industri disediakan semasa pelaksanaan program Selangor Mega Job Fair. Manakala pada tahun 2023, sasaran Kerajaan Negeri ialah untuk melaksanakan dua (2) program Selangor Mega Job Fair bagi merangsang dan menambah lebih banyak peluang pekerjaan dikalangan belia dan meningkatkan taraf ekonomi rakyat Selangor.

    1. Program inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS)

    Kerajaan Negeri juga sentiasa berusaha dalam menyediakan latihan dan kemahiran yang relevan dalam program-program seperti IKTISASS yang dapat membantu menyediakan tenaga kerja mahir di Selangor dan meningkatkan kebolehpasaran belia dan graduan menganggur.

    Pelbagai program ditawarkan melalui Program IKTISASS ini. Program IKTISASS memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi di Negeri Selangor untuk penyediaan dan melengkapkan integrasi kemahiran bagi lepasan sekolah dan golongan muda dalam aspek kualiti bidang latihan dan peningkatan kemahiran dengan pasaran pekerjaan. Pembangunan latihan dalam Program IKTISASS merupakan pendekatan untuk lepasan latihan memasuki alam pekerjaan dan keusahawan dengan kepakaran yang berkualiti.

    1. Program Selangor Kerjaya

    Pada masa yang sama dalam usaha membantu golongan belia mendapatkan peluang pekerjaan. Pihak MBI atau Menteri Besar Selangor Pemerbadanan juga telah melaksanakan Program Selangor Kerjaya yang menyediakan peluang pekerjaan eksklusif untuk warga Selangor. Program ini menawarkan peluang pekerjaan melalui pemadanan kerjaya yang berkesan dan pemohon perlu mendaftar dengan melayari laman web www.selangorkerjaya.com.my.

    Kemudahan laman web ini diberi secara percuma kepada majikan yang mahu mengiklankan jawatan kosong. Manakala calon pemohon akan melalui penilaian profil serta pemadanan kerjaya tertakluk kepada pekerjaan yang diiklankan dan pemilihan tersebut akan dilakukan oleh majikan yang berdaftar sebelum penempatan kerja sebenar berlaku. Setelah penempatan kerja berlaku, calon juga boleh mendapatkan latihan-latihan profesional dan akses pembelajaran atas talian.

    1. Program Jelajah Jobcare

    Selain itu, pada tahun 2022 Kerajaan Negeri turut berkerjasama dengan Persatuan Keselamatan Sosial (PERKESO) Selangor dalam menganjurkan Program Jelajah Jobcare melibatkan pelaksanaan di daerah Klang, Petaling, Sepang, Hulu Selangor, Gombak, Kuala Langat dan Sabak Bernam dengan kehadiran pengunjung seramai 1,495 orang dan seramai 892 orang telah dikenalpasti berjaya mendapat pekerjaan. Pada tahun 2023, program ini akan diteruskan lagi sebagai program tahunan di bawah Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Pekerja dengan melibatkan pelaksanaan di sembilan (9) daerah dalam Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.