Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

13) PELANCONGAN

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah rancangan Kerajaan Selangor terhadap Pelancongan Perindustrian?

    Untuk makluman pihak Yang Berhormat, Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor telah mengambil inisiatif bagi mempromosi Pelancongan Perindustrian seperti yang berikut:-

    a) Penyediaan Direktori Pelancongan Industri ‘Splendid Selangor: Industrial Tourism’ yang menyenaraikan lebih 150 produk pelancongan Industri di 9 daerah Negeri Selangor serta membahagikan kepada 10 kategori seperti berikut:-

    • Small Medium Enterprises (SMES)
    • Agricultural Industry
    • Manufacturing Industry
    • Creative Industry
    • Education Industry
    • Galleries & Museums
    • Street Art
    • Spa Industry
    • Food & Beverage Industry

    b) Melalui direktori pelancongan tersebut pihak Tourism Selangor telah menerbitkan direktori pelancongan dalam bentuk E-Book yang boleh di muaturun di laman sesawang rasmi Tourism Selangor, selangor.travel.

    c) Bekerjasama bersama pihak pemegang taruh pelancongan industri seperti pengusaha produk, persatuan penduduk, Pihak Berkuasa Tempatan dan produk pelancongan negeri Selangor bagi bersama melaksanakan kempen dan inisiatif promosi pelancongan industri tersebut.

    d) Program FAM Trip (Lawatan) bersama pihak Media dan Agensi Pelancongan domestik dan antarabangsa ke produk-produk pelancongan Indusri.

    e) Kempen Promosi secara digital dan atas talian, melalui laman sesawang www.selangor.travel dan 14 platform rasmi media sosial Tourism Selangor, serta Promosi melalui Key Opinion Leaders (KOL) luar negara dan tempatan di dalam memberikan makluman dan pendedahan berkenaan pengalaman melawat dan melancong ke produk-produk yang disenaraikan.

    f) Penyediaan Pakej Pelancongan Industri yang saling berkait (integrated) dengan pakej-pakej yang sedia ada di pasaran.

  2. Adakah kerajaan berhasrat untuk mewujudkan satu aplikasi supaya boleh menjadi satu garis panduan dan bantuan kapada orang ramai melawat ke Selangor?

    Untuk makluman pihak Yang Berhormat,

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Tourism Selangor dengan kerjasama syarikat operator Tourplus Technology Sdn Bhd sedang dalam usaha mewujudkan sebuah aplikasi mudah alih yang dinamakan ‘Go Selangor’.

    Aplikasi Go Selangor bertindak sebagai “Marketplace” pendigitalan dan promosi produk pelancongan Negeri Selangor yang terulung bagi memudahkan para pelancong mencari maklumat dan membeli produk dengan pantas, telus dan tepat.

    Pengoperasian dan penyediaan teknologi aplikasi Go Selangor oleh Tourplus merangkumi perkhidmatan seperti yang disenaraikan berikut:

    • Menggunapakai teknologi label putih untuk membangunkan aplikasi Go Selangor.
    • Mengendali aplikasi Go Selangor.
    • Mengemaskini dan memanjangkan kandungan aplikasi Go Selangor.
    • Memuatnaik informasi pedagang ke dalam applikasi Go Selangor.
    • Melatih pedagang dalam meluaskan pemahaman applikasi Go Selangor.
    • Menyelaras urusan pedagang dalam aplikasi Go Selangor.
    • Memberi khidmat sokongan 24 jam kepada pelanggan dan / atau pedagang aplikasi Go Selangor.
    • Mengurus dan melantik agensi penjualan luaran untuk meningkatkan subkripsi pedagang ke dalam aplikasi Go Selangor.

    Pihak Tourism Selangor dan Tourplus akan bekerjasama mempromosi dan memasarkan aplikasi mudah alih Go Selangor melalui laman sesawang selangor.travel dan tourplus.my, laman sosial media seperti Facebook, Youtube, Twitter, LinkedIn, Instagram, EDM, SMS serta saluran pengiklanan dan media massa yang dikenalpasti untuk meningkatkan jumlah muat turun serta pembelian produk melalui aplikasi mudah alih Go Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.