Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

12) PENGURUSAN PANGSAPURI (JMB & MC)

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan bagi menyelesaikan JMB pangsapuri kos rendah yang tidak aktif?

    LPHS

    Badan Pengurusan Bersama atau Joint Management Bodies (JMB) merupakan sebuah badan yang ditubuhkan bagi menyediakan satu mekanisme bagi pemaju dan pembeli bangunan berstrata (atau dikenali sebagai pemilik petak) yang bersama-sama bertanggungjawab dalam menguruskan dan menyelengggara kawasan pemajuan bangunan berstrata sebelum diserahkan kepada Badan Pengurusan atau Management Bodies (MC) yang seluruhnya akan dianggotai dan dikendalikan oleh pemilik petak. Di bawah Seksyen 17(1) Akta Pengurusan Strata 2013 [Akta 757], Badan Pengurusan Bersama (JMB) perlu ditubuhkan apabila mesyuarat pertama diadakan tidak lewat daripada 12 bulan dari tarikh penyerahan milikan kosong (vacant possession) kepada pembeli/pemilik petak. Secara ringkasnya, ia bermaksud, Badan Pengurusan Bersama (JMB) perlu ditubuhkan dalam masa satu tahun daripada tarikh serahan milikan kosong kepada pemilik petak.

    Berkenaan soalan ini, sesebuah pangsapuri yang telah mempunyai JMB tetapi tidak aktif adalah disebabkan kegagalan badan pengurusan mengutip wang penyelenggaraan (maintainance fees) dan kumpulan wang penjelas (sinking fund). Sekiranya situasi ini berlaku, bangunan tidak dapat diselenggara dengan baik dan berkemungkinan kerosakan seperti kerosakan lif dan lampu di koridor tidak dapat dibaikpulih dan kerja-kerja pembersihan bangunan atau pengecatan bangunan tidak dapat dijalankan. Dalam hal ini, pihak JMB perlu memperkasakan peranan mereka melalui Akta Pengurusan Strata 2013 (757) untuk mengutip tunggakan caj penyenggaraan di kalangan pemilik-pemilik tegar. JMB yang ditubuhkan mempunyai kuasa untuk mengutip caj penyenggaraan daripada pemilik untuk tujuan pengurusan dan penyenggaraan di bawah Seksyen 21 (subseksyen 2), dan dan seksyen 33, Akta Pengurusan Strata 2013 (757).

    Antara program yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri melalui LPHS dan Pesuruhjaya Bangunan (COB) di semua PBT  dalam membantu JMB yang tidak aktif adalah seperti berikut:-

    1. Penyediaan pelan tindakan khusus kepada COB melantik ejen pengurusan untuk menyenggara dan mengurus pangsapuri yang melibatkan JMB tidak aktif. Program ini mengambilkira peranan Pesuruhjaya Bangunan (COB), di Pihak Berkuasa Tempatan yang mempunyai kuasa untuk melantik ejen pengurusan di bawah Seksyen 86 Akta Pengurusan Strata 2013 [Akta 757] untuk mengambilalih pangsapuri yang bermasalah tersebut. Namun demikian, pelan tindakan ini sukar dibuat kepada skim kos rendah yang daif berikutan tiada ejen pengurusan yang berminat untuk menguruskan bangunan memandangkan melibatkan kos penyenggaraan yang tinggi. Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah menubuhkan skim Lestari Harmoni untuk mengambil alih pengurusan dan penyelenggaraan pangsapuri yang tiada JMB atau tidak aktif melalui ejen-ejen pengurusan yang dilantik oleh Kerajaan Negeri.
    2. Mengambil inisiatif bersama-sama COB dengan memberikan khidmat nasihat, bimbingan dan tunjuk ajar kepada penduduk-penduduk yang dikenal pasti boleh menerajui JMB berkenaan kepentingan adanya badan pengurusan. Mereka akan diberi bimbingan di bawah Kursus Pemantapan Pengurusan Bangunan Dan Kediaman Berstrata atau C-SMART yang dianjurkan oleh COB mengikut PBT masing-masing.
    3. Pengenalan Sistem Laporan Kewangan Pangsapuri Negeri Selangor (ECOB) di mana Kerajaan Negeri boleh memantau prestasi kewangan sesebuah badan pengurusan di peringkat lebih awal. Setiap badan pengurusan akan diwajibkan menggunakan sistem ini bagi memastikan laporan kewangan di hantar kepada COB setiap bulan agar setiap perbelanjaan penyelenggaraan diuruskan dengan cekap dan teratur. Sistem ini juga melatih badan pengurusan JMB berbelanja mengikut keupayaan sebenar kewangan agar tidak berlaku defisit pada akaun penyelenggaraan pangsapuri.
    4. Bantuan kerosakan infrastruktur di kawasan flat kos rendah yang mempunyai JMB tidak aktif di bawah skim bantuan sedia ada mengikut jenis kerosakan di pangsapuri berkenaan. Kebanyakan kerosakan di pangsapuri yang JMB tidak aktif adalah agak teruk dan memerlukan kos yang besar untuk tujuan baik pulih. Oleh demikian, kaedah jangka panjang akan diteliti untuk memulihkan bangunan-bangunan uzur akibat tiada badan pengurusan.
      MPS

      Untuk makluman Yang Berhormat, terdapat 2 tindakan yang boleh diambil bagi menyelesaikan isu JMB pangsapuri kos rendah yang tidak aktif iaitu melalui Program bantuan penubuhan badan di bawah program COB dan pelaksanaan program lantikan ejen di bawah Seksyen 86 (Akta 757).

  2. Nyatakan pangsapuri kos rendah bawah DUN Rawang yang akan melantik ejen pengurusan?

    Untuk makluman Yang Berhormat, COB MPS telah mengambil tindakan dengan menampal notis di 5 skim Dun Rawang yang bermasalah untuk melantik ejen di bawah Seksyen 86. Selanjutnya, COB MPS dalam proses pengeluaran surat kepada ejen bagi mendapatkan sebutharga. Proses lantikan dijangka akan dibuat pada akhir bulan April 2023.

  3. Nyatakan jadual masa dan rancangan bagi menyelesaikan JMB pangsapuri kos rendah yang tidak aktif di DUN Rawang.

    Bagi skim strata tersebut, COB MPS telah pun merancang dengan memasukkan peruntukan secara one-off di dalam Bajet MPS Tahun 2023 melalui Program Bantuan Skim Strata bagi strata yang tidak mempunyai badan pengurusan. Pelaksanaan ini dijangka akan bermula pada bulan Jun 2023.

Lampiran

Tiada Lampiran.