Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

3) GALAKAN PENTERNAK AYAM DAN PENGUSAHA TELUR TEMPATAN

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Puan Juwairiya Binti Zulkifli

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah bentuk galakan dan insentif yang diberikan oleh Kerajaan Negeri kepada penternak ayam dan pengusaha telur ayam tempatan untuk mengurangkan kebergantungan import?

    Bagi Rancangan Malaysia Ke-12, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor (DVS Selangor) memberi galakan dan insentif dalam bentuk (i) Geran Ternakan, (ii) Peralatan Menternak, dan    (iii) Bahan Binaan     kepada     penternak     yang berpotensi di bawah program pembangunan Tranformasi Penternak Unggas.  Bantuan-bantuan ini disediakan pada setiap tahun dan semua penternak ayam pedaging dan penelur di seluruh negeri Selangor boleh memohon bantuan ini.  Lawat siasat akan dilaksanakan ke atas semua permohonan bagi memilih permohonan yang layak.  Maklumat lanjut tentang cara-cara membuat permohonan boleh diajukan kepada semua Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah seluruh negeri Selangor.

     

    Selain itu,  bagi tahun 2021 dan 2022, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) telah memberi Insentif Pengeluaran kepada semua penternak ayam pedaging dan penelur tempatan bagi membantu penternak menghadapi kenaikan kos makanan ternakan. Kadar Insentif Pengeluaran yang telah diberi adalah:

    • 10 sen hingga RM1.40 bagi setiap kg daging ayam yang dihasilkan; dan
    • 3 hingga 10 sen bagi setiap biji telur yang dihasilkan.

     

    DVS Selangor seterusnya sedang menunggu arahan terkini daripada MAFS bagi melaksanakan insentif bagi tahun 2023 pula.

Lampiran

Tiada Lampiran.